RAFIZI KEJUTKAN RAMAI, RESTORAN KESUM TAWAR MENU BAWAH RM5
RAFIZI KEJUTKAN RAMAI, RESTORAN KESUM TAWAR MENU BAWAH RM5
KUALA LUMPUR – Dalam suasana harga makanan semakin melambung, langkah berani bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, membuka restoran perusahaan sosial KESUM nyata mencuri perhatian ramai.
Restoran yang terletak di kawasan Parlimen Pandan itu menawarkan pelbagai hidangan tempatan dengan harga paling mahal RM4.99 sahaja, sekali gus mencabar norma pasaran makanan siap masak yang semakin menekan rakyat.
Menerusi inisiatif Ayuh Malaysia, KESUM mengetengahkan konsep “asal Kenyang, Sedap dan Murah” dengan menu seperti nasi lemak ayam, nasi minyak ayam, mee goreng, nasi ayam berempah dan lempeng kari ayam — semuanya pada harga bawah RM5.
“Alhamdulillah, Kesum dibuka kepada orang ramai hari ini. Ramai yang datang dari jauh dan dekat, saya ucapkan ribuan terima kasih atas sokongan,” kata Rafizi menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, penubuhan KESUM bukan sekadar perniagaan, tetapi inisiatif sosial untuk membantu rakyat berdepan kos sara hidup yang tinggi selain membuka peluang pekerjaan kepada anak muda.
Warga maya rata-rata memuji langkah Rafizi yang dianggap turun padang secara nyata, bukan hanya berdebat tentang harga makanan tetapi menunjukkan tindakan sebenar.
Difahamkan, KESUM beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam, menawarkan makanan gaya rumah dengan suasana santai dan harga rakyat.

Langkah itu dilihat sebagai simbol perubahan baharu dalam pendekatan sosial — bila pemimpin tidak sekadar bercakap, tetapi turut sama memasak untuk rakyat.-SAHIH
