PUTERI UMNO GESA KAJI KERJASAMA PN
PUTERI UMNO GESA KAJI KERJASAMA PN
KUALA LUMPUR: Puteri UMNO menggesa parti itu mengkaji semula keputusan sama ada untuk terus bersama Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubar seperti yang diputuskan sebelum ini atau sebaliknya.
Ketuanya, Zahida Zarik Khan, berkata UMNO tidak tahu bila Parlimen akan dibubar dan parti terbesar orang Melayu itu berkemungkinan akan diheret untuk bersama PN sehingga penggal Parlimen tamat 2023.
“Tidak mustahil keadaan seperti ini akan diheret sehingga 2023,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Puteri pada Perhimpunan UMNO 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.
Selain PKR dan DAP, Zahida berkata, UMNO perlu tegas untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Bagi kita No DAP, No PKR is done deal, tak boleh dipertikaikan, setuju 100 peratus.
“Cuma kita hanya tambah satu lagi, No DAP, No PKR dan No PPBM (BERSATU),” katanya.
Zahida turut mengingatkan UMNO supaya berwaspada dengan musang berbulu ayam dalam kalangan ahli parti itu, yang mana jika dibiarkan akan menjadi barah dalam UMNO.
“Kita harus berani mengambil tindakan tegas. Awas! Ular tetap ular, bersalinlah kulit berkali-kali pun, ia tetap ular.
“Ahli Puteri kena beringat…kita dianggap paling mudah menjadi mangsa untuk dibelit dan ditelan ular ini hidup-hidup dan sebab itu, kita mendesak parti mengenal pasti siapakah ular ini untuk kita eksport mereka ke sebelah sana,” katanya, lapor BH Online.
Selain itu, Zahida berkata, golongan muda sudah muak dengan permainan politik hari ini terutama trend lompat parti yang disifatkan mengkhianati mandat rakyat.
Justeru, katanya, pergerakan itu perlu dilihat sebagai wadah perjuangan anak muda dan bukan hanya sebagai pembantu parti untuk memenangi pilihan raya atau mengharap habuan kerana menjadi sebahagian daripada tampuk kekuasaan.
ZAHIDA ZARIK KHAN
“Kita mesti menjadi ejen pemodenan pandangan politik baharu tanpa melupakan akar umbi kita. Kita juga mesti menjadi inspirasi anak muda untuk melihat negara ini diperintah berasaskan prinsip demokrasi yang murni.
“Sebagai parti memperjuangkan orang Melayu, kita tidak lupa pada akar kita untuk terus berjuang membela nasib Melayu, membina negara bangsa Malaysia berteraskan asas budaya bahasa serta agama kaum asal negara ini,” katanya.
Zahida menegaskan, Puteri UMNO juga mendokong perubahan bagi meletakkan peranan besar orang muda dalam mencorakkan masa depan negara, termasuk pelaksanaan undi bagi mereka berusia 18 tahun dan pendaftaran automatik untuk golongan itu.
“Tidak ada alasan melengahkan pelaksanaannya. Jika ada yang berkata mereka tidak cukup matang memikul tanggungjawab ini, maka kita tuntut kerajaan segera melaksanakan langkah drastik untuk mematangkan mereka dalam tempoh terdekat.
“Ini termasuk memasukkan sukatan apresiasi demokrasi seawal usia 16 tahun. Mereka harus diajar mengenai pentingnya mengundi, mengenali apa yang dimaksudkan dengan kerajaan yang baik dan Parlimen serta tanggungjawabnya,” katanya.
Beliau juga menggesa pergerakan itu supaya bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), dengan mengendalikan sistem maklumat data pengundi dan penyelidikan bagi memahami sentimen serta sikap pengundi.
“Kita laksanakan tanggungjawab ini sebagai amanah besar untuk parti dan negara. Jangan risau jika ada orang berkata kita tidak boleh memenangi hati pengundi jika kita bukan kerajaan.
“Formula ini sudah tak boleh pakai lagi. Bagaimanapun, ingatlah dalam tujuh pilihan raya kecil (PRK) lalu, walaupun kita bukan kerajaan, kita boleh menang,” katanya.