Puspanita MITI komited teras 5K, bina bilik isolasi warga emas di Semenyih
Foto : Azmir (tiga dari kanan) melakukan gimik penyerahan sumbangan barangan asas keperluan harian hasil infak Skuad Ihsan Madani MITI dengan disertai Narizan, Hairil, Azman, Dr Mohd Hafiz, Mohiadin dan Muhammad Syafiq.
Puspanita MITI komited teras 5K, bina bilik isolasi warga emas di Semenyih
Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus komited melaksanakan program Teras 5K merangkumi Kebajikan, Keilmuan, Keusahawanan, Kesejahteraan dan Kelestarian bagi memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
Komitmen itu diterjemahkan menerusi kerjasama strategik bersama EXIM Bank yang berjaya membina dua bilik isolasi di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor. Kemudahan berkenaan mula beroperasi sepenuhnya pada Oktober 2025 bagi membantu pengurusan pusat jagaan tersebut.
Pengerusi Puspanita Cawangan MITI, Datin Narizan Nawawi berkata, bilik isolasi itu diwujudkan khusus untuk menangani isu warga emas yang mengalami nyanyuk tegar agar tidak bergerak bebas sehingga mengganggu penghuni lain. Menurutnya, PJMM kini turut menempatkan warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer dan demensia, sekali gus memerlukan pengasingan serta penjagaan lebih teratur dan efisien.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santunan Kasih di PJMM dan Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, pada 13 Disember lalu. Program berkenaan turut menjadi simbolik penyerahan kunci bilik isolasi serta penyampaian sumbangan barangan keperluan harian oleh Skuad Ihsan Madani MITI.
Narizan turut mengimbas sumbangan terdahulu termasuk peruntukan RM500,000 yang diluluskan kerajaan pada 2018 bagi penambahbaikan pusat jagaan itu serta pembinaan bilik khas wanita oleh Puspanita Kebangsaan. Beliau berharap PJMM yang beroperasi sejak 2016 dan kini menjaga 51 warga emas dengan sokongan 20 petugas dapat terus melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi.
Sementara itu, Ketua Setiausaha MITI, Dato’ Hairil Yahri menyeru kakitangan kementerian agar tidak menangguh amalan berinfak serta terus menyokong inisiatif tanggungjawab sosial korporat demi kebajikan warga emas.-SAHIH.
