PUSAT INAP DAN RESORT DI KUALA TAHAN BELUM ADA TEMPAHAN KERANA PKPD
PUSAT INAP DAN RESORT DI KUALA TAHAN BELUM ADA TEMPAHAN KERANA PKPD
JERANTUT : Kebenaran merentas negeri dan daerah bagi pemulihan sektor ekonomi termasuk Pelancongan sejak 10 Ogos, namun aktiviti rekreasi dan riadah di Taman Negara Kuala Tahan, sebuah taman peranginan hutan tropika terkenal di Pahang masih belum boleh dikunjungi pelawat.
Salah satu tarikan pelancong ke Taman negara Kuala Tahan
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di kawasan Taman Negara Kuala Tahan sejak bermula 8 sehingga 21 Ogos 2021 ini berikutan peningkatan kes penularan pandemik Covid-19 di lokaliti tersebut.
PKPD di kawasan itu menyebabkan pintu masuk Taman Negara masih belum boleh dikunjungi oleh pengunjung domestik selagi keadaan belum pulih sepenuhnya malahan pengusaha dan penggiat ekopelancongan di situ kena menunggu kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memulakan operasi semula.
Penguatkuasaan PKPD di situ umumnya mengetahui telah memberikan kesan kepada pemilik pusat inap kerana sehingga hari ini belum ada langsung tempahan bilik.
Pengusaha pusat inap Delimah Guesthouse, Abdul Jalil Abd Rahman berkata, sehingga ini mana-mana pusat inap milik penduduk di situ dan resort swasta masih belum ada tempahan pengunjung domestik.
“Inilah yang dirisaukan berikutan penguatkuasaan PKPD di sini memberikan kesan kepada pemulihan semula sektor ekopelancongan sebelum musim tengkujuh bermula pada awal bulan Oktober ini,” katanya ketika dihubungi.
Abdul Jalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Tahan menambah, lebih 1,260 orang penduduk Kuala Tahan termasuk pengusaha dan penggiat sektor tersebut sudahpun menerima vaksinasi dua dos, tetapi terbantut dengan pelaksanaan PKPD sehingga 21 Ogos ini.
Rakannya, pemilik pusat inap Greenland, Afzal Abdul Aziz juga menerima tekanan yang sama apabila sehingga ini masih belum ada tempahan bilik daripada pengunjung domestik walaupun sudah ramai pelawat menghubunginya untuk datang semula menerusi laman sosial Facebook, Whatsapp dan Telegram.
“Kita berharap selepas PKPD dua minggu lagi, keadaan di sini akan pulih dan bolehlah menerima tempahan pengunjung domestik untuk singgah menginap serta beriadah di taman ini.
“Pengusaha di sini termasuk rakan penggiat lain cuma ada dua bulan sahaja lagi untuk beroperasi sebelum musim tengkujuh pada awal bulan Oktober menyebabkan kawasan di Hulu Tembeling kemungkinan berdepan dengan banjir pada penghujung tahun,” katanya.
Sementara itu, pekerja hospitaliti, Sabri Abdullah berkata, pengusaha dan penggiat ekopepancongan di taman itu sudah lama tenat dan boleh dikatakan ‘mati’ sejak tahun lalu apabila ancaman pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.
“Kini kami berdepan pula tekanan PKPD menyebabkan langsung tidak ada tempahan bilik walaupun kelonggaran pergerakan sejak 10 Ogos, nampaknya tiada tanda kehadiran pengunjung ke sini.
“Kita berdoa kepada Allah SWT semoga senario ini pulih dengan cepat lagipun kesemua pengusaha dan penggiat di sini sudah menerima vaksinasi dengan harapan dapat memulihkan semula sektor ekopelancongan di Taman Negara,” katanya.-SAHIH.