Pusat hemodialisis Koperasi KGMMB akan beroperasi di Kuala Terengganu
Pusat hemodialisis Koperasi KGMMB akan beroperasi di Kuala Terengganu
Foto atas: Rakan strategik penapis air dengan KopKGMMB menyerahkan alat itu kepada Pengerusi KopKGMMB, Ibrahim Marlan (kiri) serta disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil (tengah)
BATU PAHAT – Pusat Hemodialisis Koperasi Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KopKGMMB) akan beroperasi dengan enam mesin alat itu di Kuala Terengganu tahun hadapan.
Pengerusinya, Ibrahim Marlan berkata, pusat tersebut berharga RM500,000 untuk membeli peralatan tersebut dan lain-lain perbelanjaan pengurusan akan memberi perkhidmatan kepada pengidap diabetis.
“Seramai kira-kira 18,000 anggota KopKGMMB turut akan menikmati manfaat dengan kewujudan pusat itu di sana terutama yang tinggal di sekitar Kuala Terengganu, alat itu akan ditambah secara berperingkat.
“Sebagai antara sebuah koperasi terbesar yang dianggotai oleh guru dan pesara guru, pusat ini dibina memandangkan perkhidmatan seperti ini amat diperlukan,”katanya selepas perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Kali Ke-23 di sini, kelmarin.
Katanya, KopKGMMB memiliki aset berjumlah RM80 juta, koperasi telah berjaya memperolehi pendapatan pada 31 Disember 2020 sebanyak RM3,637,826 dengan keuntungan berjumlah RM 1,824,380.
“Keuntungan itu berkurangan sebanyak RM71,522 berbanding dengan keuntungan 2019 sebanyak RM 1,895,902 kerana pembayaran daripada anggota kurang disebabkan kehadiran pandemik.
“KopKGMMB akan terus menambahbaik perancangan strategik untuk mengukuhkan aktiviti sedia ada bagi meningkatkan pendapatan dan sekarang di kedudukan ke-29 terbaik di peringkat nasional dan meletakkan matlamat koperasi antara yang terbaik negara,”katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil dan Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Jasni Md Kechik.
Sementara itu, Ayub Jamil berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada KopKGMMB selain meningkatkan ekonomi anggota, ia turut menjana ekonomi negara.
“Tidak mustahil koperasi ini akan terus maju dengan anggota seramai 18,000 orang serta mempunyai aset RM80 juta dan perlu dicontohi oleh koperasi lain.
“Jalinan kerjasama yang erat antara anggota koperasi dan keuntungan serta faedah yang terbaik untuk dinikmati oleh anggota, selain itu koperasi perlu bijak memantap dan mencari ruang dan peluang dalam perniagaan demi ekonomi anggota, “ katanya.-SAHIH.