PUNB kongsi rezeki Ramadan di Ulu Tembeling
PUNB kongsi rezeki Ramadan di Ulu Tembeling
JERANTUT – Program Kongsi Rezeki Ramadan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mendekati masyarakat di kawasan pedalaman Ulu Tembeling dalam usaha melihat dari dekat budaya masyarakat di kawasan terbabit.
Pengerusinya Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, melalui Program Kongsi Rezeki Ramadan ini, kita turut membawa pengurusan tertinggi PUNB untuk meninjau dan mendekati penduduk beberapa kampung di kawasan pedalaman itu.
“Ini adalah kali pertama CSR luar bandar khususnya kawasan pedalaman, di samping itu pegawai PUNB turun sendiri untuk mengetahui dan mendekati masyarakat luar bandar, susah payah masyarakat luar bandar dapat dirasai oleh pegawai-pegawai di peringat pengurusan pusat.
“Melalui program ini PUNB dapat menyantuni, beramah mesra dan memberi bantuan kepada penduduk pedalaman bagi meringankan beban penduduk di bulan Ramadan dan membantu membuat persiapan Aidilfitri,” katanya.
Katanya, antara kampung yang disantuni oleh PUNB ialah Kampung Gusai, Bantal, Pagi, Mat Daling, Kuala Sat dan perkampungan Orang Asli Sungai Kuching yang terletak di pinggir sungai Tembeling. .
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut, berkata seramai 400 ketua keluarga kurang kemampuan dari enam kampung terbabit menerima bantuan barangan keperluan asas dan wang tunai dan berbuka puasa bersama penduduk Kampung Pagi.
“Program Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) dan sumbangan zakat PUNB ini pertama kali diadakan di kawasan kampung pedalaman dan akan diadakan lagi pada masa hadapan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan di Kampung Gusai.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, Ketua Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Zakat PUNB, Fauzi Zakari dan Ketua Jabatan Pembangunan Modal Insan, Ahmad Nazlee Idris.
Ahmad Nazlan berkata, program itu berjaya memberi input berguna kepada pentadbiran PUNB dalam merangka bantuan yang sesuai untuk penduduk di kawasan terbabit yang turut terjejas dengan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.-SAHIH.