PUNB edar kuih muih dan bubur lambuk raikan anak rantau pulang ke kampung
PUNB edar kuih muih dan bubur lambuk raikan anak rantau pulang ke kampung
JERANTUT – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) membelanjakan RM100,000 untuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sepanjang bulan Ramdan bagi meraikan anak rantau yang pulang ke kampung masing-masing di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, PUNB tidak lupa menjalankan CSR selain tumpuan utama untuk membangun usahawan bumiputera dalam perniagaan strategik dan berpotensi tinggi selaras dengan Dasar Pembangunan Negara.
Katanya, sudah pasti CSR turut dituntut untuk memberi peluang PUNB berkongsi rezeki dan memberi khidmat kepada masyarakat.
“Program hari ini, PUNB mahu meraikan semangat orang ramai meraikan Ramadan dan menjelang Aidil Fitri bersama keluarga masing-masing dan mengukuhkan ikatan kekeluargaan khususnya orang Melayu termasuk kaum lain yang pulang bercuti.
“Serahan dan sumbangan beg kuih-muih dan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya yang pulang ke daerah ini sebagai caknanya PUNB kepada anak Jerantut yang pulang dan mereka merasakan seperti diraikan kepulangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian di Program Anak Perantau Pulang Ke Kampung di Jalan Jerantut-Temerloh, yang turut dihadiri Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris, dan Kadi Daerah Jerantut, Syarifuddin Mohamad Sa’ad, hari ini.
Katanya, banyak lagi ruang PUNB memberi khidmat sosial khusus di kawasan luar bandar dan pedalaman kerana jaringan perkhidmatan perlu dipertingkatkan bagi membantu penduduk di kawasan luar bandar.
“Hari ini sebanyak 500 beg kuih-muih dan bubur lambuk telah disumbangkan kepada pengguna jalan raya dengan kerjasama Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut, Umno Bahagian Jerantut dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jerantut,” katanya.-SAHIH.