PUNB bantu usahawan yang minat mengeluarkan produk makanan ternakan
Foto atas : Gambar hiasan.
PUNB bantu usahawan yang minat mengeluarkan produk makanan ternakan
JERANTUT – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan berusaha membantu pengusaha yang berminat untuk mengeluarkan produk makanan ternakan untuk mengimbangi harga ayam daging di pasaran.
Ketika ini, dipercayai bahan makanan ternakan menjadi antara penyebab harga ayam daging meningkat di pasaran.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, pihaknya akan membantu usahawan yang mahu mengusahakan pengeluaran produk bahan makanan ternakan untuk mengimbangi harga ayam daging.
“Isu harga ayam daging naik bagai rantaian masalah yang menyebabkan harga daging ayam mahal dipercayai berpunca harga makanan ternakan mahal.
“Oleh itu, selain pengeluar ayam daging, pengeluar bahan makanan ternakan wajar diberi keutamaan untuk memastikan bahan makanan ternakan terus berada di pasaran pada harga yang kompetatif sekali gus menentukan bekalan ayam daging berterusan,” katanya di Majlis Jamuan Hari Raya di Felda Jengka 24, semalam.
Katanya, bidang pengeluaran bahan makanan ternakan perlu diusahakan untuk mengimbangi harga ayam daging dan PUNB bersedia membantu.
“Selain itu PUNB akan membantu usahawan yang benar-benar terkesan dan mendengar segala masalah yang dihadapinya sama ada dari segi pinjaman bayaran balik dan sebagainya.
“Walaupun berdepan dengan kesukaran, usahawan perlu cuba mengemaskini akaun mereka untuk menyakinkan pemberi pembiayaan daripada agensi kerajaan mahupun swasta, termasuk PUNB,” katanya.
Beliau berkata, setakat Mac tahun ini, PUNB telah meluluskan sebanyak RM3.53 bilion pembiayaan membabitkan 13,063 usahawan daripada pelbagai sektor perniagaan.
“PUNB juga telah mengagihkan bantuan kepada hampir 2,000 usahawan muda yang baru mula meniaga,” katanya.-SAHIH.