PUKUL HAIWAN GUNA KAYU! PENAGIH DAN DUA RAKAN DICEKUP POLIS
PUKUL HAIWAN GUNA KAYU! PENAGIH DAN DUA RAKAN DICEKUP POLIS
TEMERLOH – Tindakan tidak berperikemanusiaan tiga lelaki yang dipercayai memukul haiwan menggunakan kayu akhirnya membawa padah apabila mereka diberkas polis di Jalan Pintasan Temerloh-Mentakab, baru-baru ini.
Dalam tangkapan yang dijalankan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, dua lelaki Melayu berusia 19 dan 39 tahun ditahan sekitar jam 11 malam pada 14 April 2025.
Kira-kira dua jam kemudian, seorang lagi lelaki berusia 29 tahun turut diberkas di lokasi sama hasil siasatan lanjut.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, tangkapan dibuat hasil maklumat awam yang membawa kepada penahanan ketiga-tiga suspek.
“Turut dirampas dalam tangkapan tersebut ialah sebatang kayu bulat sepanjang 80 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian kekejaman terhadap haiwan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut. Salah seorang suspek berusia 39 tahun turut memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dua lagi suspek termasuk seorang remaja berusia 19 tahun pula tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap haiwan dan Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Permohonan reman telah dibuat di hadapan Majistret Tan Chew King dan kesemua suspek direman selama tiga hari bermula 15 April hingga 17 April 2025 bagi membantu siasatan.
Pihak polis menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian seumpama ini bagi membanteras kekejaman terhadap haiwan.-SAHIH