Proses pindah gajah sesat ke Bandar Kuantan
Proses pindah gajah sesat ke Bandar Kuantan
OPERASI memindahkan gajah yang sesat berhampiran taman perumahan Pandan Damai, dekat Kuantan, semalam, akan dilakukan hari ini.
Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md Daud berkata, kaki gajah berkenaan sudah dirantai malam tadi oleh kakitangan Unit Tangkapan Gajah jabatan itu.
“Lewat petang semalam kita sudah tembak ubat pelali dan mengikatnya (merantai), dan proses memindahkan gajah itu ke habitat asal boleh dimulakan hari ini.
“Untuk proses pemindahan gajah, kita akan meminta bantuan petugas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Lanchang, Temerloh,” katanya.
Dalam kejadian petang semalam, penduduk taman perumahan Taman Pandan Damai, dekat Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, di sini, gempar apabila menyedari kehadiran haiwan itu dalam kawasan hutan kecil berdekatan taman perumahan terbabit.
Gajah jantan memiliki sepasang gading itu dipercayai tersesat dari Bukit Goh dan menjadikan Hutan Simpan Cerul, di sini sebagai kawasan habitat semulajadi.
Difahamkan haiwan itu menyusur sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), sebelum dikesan dalam hutan kecil dekat taman perumahan berkenaan.-SAHIH