Promosi Pembukaan Cawangan Baru, Ayam & Ikan Bawal RM1 Licin dalam 10 Minit!
Promosi Pembukaan Cawangan Baru, Ayam & Ikan Bawal RM1 Licin dalam 10 Minit!
JERANTUT – Sebanyak 500 ekor ayam dan 500 ekor ikan bawal emas habis terjual dalam tempoh hanya 10 minit sebaik sahaja sebuah pasar raya di sini dibuka pagi ini.
Harga promosi RM1 seekor yang ditawarkan menarik ratusan pelanggan yang beratur panjang sejak awal pagi, namun ramai pulang hampa kerana stok terhad.
Pengarah Urusan BS Freshmart, Mohammad Rasul Razuan, mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa terhadap jualan murah tersebut.
“Saya dimaklumkan ayam dan ikan yang diperuntukkan habis dalam masa yang amat singkat. Kami faham ramai yang tidak sempat membelinya, dan pihak kami akan menambah stok bagi dua hari jualan berikutnya,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian cawangan ke-25 BS Freshmart di bandar Jerantut.
Menurutnya, pihak pasar raya pada asalnya menetapkan jumlah jualan sebanyak 500 ekor ayam dan 500 ekor ikan bawal emas setiap hari selama tiga hari berturut-turut.
Namun, selepas melihat permintaan tinggi, beliau merayu agar jumlah itu dinaikkan kepada 2,000 ekor sehari bagi baki dua hari jualan.
Sementara itu, rata-rata pelanggan yang hadir kecewa kerana tidak berpeluang mendapatkan ayam dan ikan pada harga promosi.
“Saya datang sejak pukul 7 pagi, tapi bila sampai kaunter, semua dah habis. Harap esok stok lebih banyak,” kata seorang pelanggan, Noraini Mansor, 45.dari Kampung Gintong, Jerantut.
Majlis perasmian turut diserikan dengan ucapan wakil kerajaan YB Sim Chon Siang, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang yang menyokong pembukaan cawangan kedua BS Freshmart di Jerantut sebagai langkah memperkukuh akses rakyat kepada barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
BS Freshmart juga menawarkan diskaun 15% hingga 30% bagi barangan keperluan Hari Raya Aidilfitri sebagai sebahagian daripada promosi pembukaan cawangan tersebut.