PROMAK Tarik Kehadiran Murid Orang Asli ke Sekolah
PROMAK Tarik Kehadiran Murid Orang Asli ke Sekolah
KUALA LIPIS – Program Makanan Kesihatan (PROMAK) yang dikendalikan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) terus membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan kehadiran murid ke sekolah, khususnya dalam kalangan pelajar Orang Asli.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program ini menjadi faktor penarik utama kerana murid diberikan makanan sihat secara percuma setiap hari, sekali gus menggalakkan mereka hadir ke sekolah.
“Tadi saya tanya guru besar, kehadiran murid meningkat sebab ada faktor penarik. Mereka tahu hari ini BERNAS bagi makanan PROMAK, makanan kesihatan percuma setiap hari,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran PROMAK Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Kuala Koyan, semalam.
Tambahnya, kerajaan negeri juga memberi perhatian serius terhadap isu malnutrisi dan masalah bantut dalam kalangan murid sekolah.
“Kita tidak boleh biarkan masalah bantut ini. Sebab itu kita bekerjasama dengan BERNAS untuk membantu. Ini salah satu cara kita mengurangkan masalah ini,” ujarnya.
Sementara itu, Program Makanan Sedunia (WFP) baru-baru ini mengeluarkan amaran bahawa lebih 1.6 juta kanak-kanak bawah lima tahun mengalami kekurangan nutrisi makanan atau malnutrisi pada tahun 2024. Faktor seperti tahap sosioekonomi keluarga, keselamatan makanan, pendidikan ibu bapa serta persekitaran memainkan peranan besar dalam isu ini.
Kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Malpemakanan 2023-2030 yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pelan ini bertujuan memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada makanan berkhasiat.
Wan Rosdy berharap lebih banyak pihak tampil bekerjasama dalam usaha menangani isu malnutrisi bagi memastikan generasi muda mendapat kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti.-SAHIH