Projek CSR Simpang Pelangai dapat perhatian PM
Projek CSR Simpang Pelangai dapat perhatian PM
KUANTAN – Pembinaan jajaran Central Spine Road (CSR) Simpang Pelangai adalah antara projek pembangunan yang mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berkunjung ke Pahang semalam.
Dalam taklimat berkaitan pembangunan di Pahang, projek CSR Karak-Simpang Pelangai adalah antara projek kritikal yang perlu diberi perhatian khusus oleh Kementerian Ekonomi dan kementerian lain yang berkaitan.
Dalam pada itu, ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam melalui hantaran di Facebook miliknya berharap taklimat berkenaan akan membantu mempercepatkan lagi semua projek pembangunan di Pahang.
“Semoga dengan taklimat khas dibawakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Sokongan ini amat penting demi manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.
Amizar yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, sentiasa berharap supaya projek CSR Karak-Simpang Pelangai menjadi kenyataan supaya memberi limpahan pembangunan yang lebih sistematik di kawasan DUN Pelangai.- SAHIH