Projek Canopy Walkway baharu jadi isu, penggiat pelancongan Kuala Tahan harap siap Awal 2026
Foto : Projek pembinaan canopy walkway baharu yang menjadi ikon pelancongan di Kuala Tahan bakal boleh digunakan pada awal 2026.
Projek Canopy Walkway baharu jadi isu, penggiat pelancongan Kuala Tahan harap siap Awal 2026
JERANTUT: Projek pembinaan canopy walkway baharu yang menjadi ikon pelancongan di Kuala Tahan menjadi isu dalam kalangan penggiat industri pelancongan tempatan susulan kelewatan serta kerosakan struktur yang siap dibina pada September lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata laluan kanopi baharu itu dibina bagi menggantikan struktur lama yang sudah uzur, dengan jangkaan pembukaan kepada orang ramai pada Januari 2026.
“Canopy walkway lama sudah uzur, jadi kita bina baharu dengan kos RM4.2 juta, panjang keseluruhan kira-kira 700 meter dan ketinggian maksimum sekitar 30 meter.
“Jika cuaca mengizinkan dan kerja baik pulih berjalan lancar, ia dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan semula laluan kanopi itu diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong ke Taman Negara serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
“Wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pengusaha pelancongan tempatan berikutan kelewatan projek ini dan perkara itu memang ada asasnya kerana jambatan gantung di Kuala Tahan antara yang terpanjang di Malaysia, setanding Tree Top Walk di Kedah dan Rainforest Skywalk di Sabah.
“Jambatan ini menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara,” katanya.
Sementara itu, Penguasa Taman Negara Pahang, Dennis Ten Choon, berkata jambatan gantung berkenaan sebenarnya telah siap pada September 2024, namun rosak akibat pokok tumbang dan kini sedang dibaik pulih.
“Bagi memastikan keselamatan pengunjung, pemantauan dan pemeriksaan binaan perlu diutamakan, selain itu kami turut membina kemudahan tambahan termasuk jeti ke kawasan permulaan jambatan serta tandas awam,” katanya.
Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2026, sekali gus menjadi tarikan utama sempena pelancaran TMM 2026.- SAHIH.
