Program ziarah kasih Lipis
Foto atas: Datuk Seri Abdul Rahman menyampaikan kepada salah seorang penerima bakul makanan, semalam.
Program ziarah kasih Lipis
LIPIS – Program Ziarah Kasih menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 1,700 penduduk di 72 buah kampung dalam Parlimen Lipis yang melibatkan peruntukan sebanyak RM170,000.
Timbalan Menteri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, program bantuan dalam bentuk bakul makanan itu bermula sejak awal bulan Ramadan dan dijangka sehingga penghujungnya pada minggu ini.
“Saya berharap agar bantuan yang diberikan sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada masyarakat setempat terutamanya golongan yang memerlukan menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma tiba,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian selepas penyampaian barang keperluan membuat kuih-muih persiapan Hari Raya Aidilfitri kepada penduduk yang kurang berkemampuan di Kampung Gua dan kawasan berdekatan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, sambutan Aidilfitri adalah sebuah tanda kemenangan setelah sebulan mengerjakan ibadah berpuasa dan semua pihak sudah tentu merindukan amalan kunjung mengunjung ke rumah sanak saudara sambil menikmati juadah hidangan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan semua pihak terutama anak perantauan yang akan pulang ke kampung sentiasa berhati-hati sepanjang perjalanan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Tidak lupa yang berada di perantauan yang akan pulang ke kampung halaman. Berhati-hati buat anak kota yang memandu untuk pulang ke desa.
“Semoga hari raya ini disambut penuh kemeriahan dan keceriaan walau di mana kita berada,” katanya.-SAHIH.