Program WANDA Perkasa Wanita Digital, Bellanies Sokong Pembangunan Usahawan Wanita di Pahang
Program WANDA Perkasa Wanita Digital, Bellanies Sokong Pembangunan Usahawan Wanita di Pahang
KUANTAN – Program WANDA (Wanita Digital Anggun) yang bakal berlangsung pada 12 Februari 2026 di Sri Manja Boutique Hotel, di sini, dijangka menjadi platform utama dalam memperkasa kemahiran digital serta memperkukuh penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan pembangunan kerjaya.
Program anjuran kerajaan Pahang itu akan dirasmikan oleh YB. Dato’ Hajah Sabariah binti Saidan, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, dengan pengisian latihan khas yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran digital, pembinaan jenama serta pengukuhan perniagaan.
Pengasas Bellanies, Rosyatina Wahab berkata, penyertaan dan sokongan Bellanies dalam program WANDA adalah selari dengan aspirasi syarikat untuk membantu wanita membina keyakinan diri, meningkatkan ilmu serta memperluaskan peluang menjana pendapatan melalui keusahawanan dan platform digital.
“Bellanies melihat WANDA sebagai satu inisiatif strategik untuk melahirkan lebih ramai wanita yang berdaya saing dalam era digital. Kami komited untuk terus menyokong program seperti ini kerana ia bukan sahaja memperkasakan wanita, malah membantu mereka membina masa depan yang lebih stabil dari segi ekonomi,” katanya.
Menurutnya, menerusi program WANDA, peserta akan didedahkan kepada latihan dan bimbingan yang bersesuaian dengan keperluan semasa, termasuk penggunaan platform digital bagi tujuan pemasaran, pembinaan personal branding serta pengurusan perniagaan kecil dan sederhana.
Dalam pada itu, Bellanies turut meneruskan inisiatif mendekati usahawan dan bakal ejen menerusi program Santai Ngopi Bersama Usahawan yang berjalan lancarnya pada 10 Februari 2026 di Kesuma Cafe, Hotel Apsara, Temerloh.

Program santai itu bertujuan memperkenalkan peluang menjadi ejen Bellanies Skin Care, selain memberi penerangan mudah mengenai sistem perniagaan yang fleksibel dan sesuai untuk wanita yang ingin memulakan langkah dalam dunia keusahawanan.
Rosyatina berkata, gabungan program WANDA dan Santai Ngopi Bersama Usahawan dilihat sebagai pendekatan menyeluruh dalam membina ekosistem sokongan kepada wanita, merangkumi pembangunan kemahiran, keyakinan diri serta peluang menjana pendapatan secara mampan.-SAHIH
