PROGRAM VAKSINASI JANGKAUAN BERJAYA TEMBUSI KAMPUNG ORANG ASLI
PROGRAM VAKSINASI JANGKAUAN BERJAYA TEMBUSI KAMPUNG ORANG ASLI
JERANTUT: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jerantut bersama Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah mengadakan program vaksinasi jangkauan (outreach) di Perkampungan Orang Asli Ulu Sat, Mukim Ulu Tembeling di sini, hari ini.
Tiga puluh enam orang penduduk orang asli suku Bateq di kampung tersebut telah diberi suntikan dos vaksin jenis CanSiniBio.
Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Amir Faisal Datuk Mohd Khairi berkata, pemberian dos tunggal vaksin ini memudahkan penduduk Orang Asli suku Bateq di kawasan pedalaman yang sentiasa berpindah randah.
“Usahasama yang sedang digerakkan oleh kedua-dua institusi ini memberi peluang kerjasama di masa hadapan sebagai usaha meningkatkan kerjasama rentas kementerian.
“Secara keseluruhannya, kesemua 21 buah perkampungan Orang Asli di daerah ini telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19 melalui program vaksinasi jangkauan,” katanya.
Turut hadir adalah Pengarah PPUM, Profesor Dr. Nazirah Hasnan, Timbalan Pengarah Ikhtisas, Chew Yee Yean dan Prof Madya Dr Hazreen Abdul Majid.
Setakat ini, seramai 1,272 penduduk Orang Asli atau 64 peratus daripada jumlah populasi Orang Asli di Jerantut telah menerima suntikan.
“Usaha berterusan akan dijalankan bagi mengesan sebilangan Orang Asli yang masih belum mendapat suntikan vaksin,” katanya
Sementara itu, perkampungan Orang Asli di Sungai Kiol dekat sini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan diperketatkan (PKPD), manakala seramai 173 orang disahkan positif Covid-19 dan dikuarantinkan di Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 (PKRC) di SK Sungai Kiol. -SAHIH.