PROGRAM SULAM UNTUK ANAK ORANG ASLI LANJUT PENGAJIAN KE IPT
PROGRAM SULAM UNTUK ANAK ORANG ASLI LANJUT PENGAJIAN KE IPT
BERA – Program Perkhidmatan Pengajian Universiti Malaysia Untuk Masyarakat (SULAM) membuka ruang kepada lebih ramai anak Orang Asli melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai mengubah mobiliti sosial kaum itu.
Sebagai projek perintis, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang memperhalusi program laluan khas kemasukan pelajar Orang Asli ke UPNM dan dijangka bakal dilaksanakan tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi agenda utama kerajaan bagi memastikan impian menyaksikan lebih ramai generasi muda Orang Asli dapat melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
“Kerajaan sentiasa meletakkan tumpuan utama yang jelas seperti yang saya umumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan seterusnya pada (pembentangan) Bajet lalu.
“Kerajaan akan terus memperkasakan untuk melihat lebih ramai anak-anak Orang Asli berpeluang mengikuti pengajian tinggi di universiti dan berjaya keluar sebagai golongan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Walkabout Perdana Menteri Bersempena Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan JAKOA di Padang Sekolah Kebangsaan Bukit Rok, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Hasagaya Abdullah.
Pada majlis sama, JAKOA melalui skim bantuan galakan pendidikan (SBGP) menyerahkan replika cek berjumlah RM90,840 kepada UPNM bagi menampung empat mahasiswa Orang Asli yang kini menyambung pelajaran di universiti berkenaan.
Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya turut memberi jaminan kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan dan pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.
Katanya, pelbagai bantuan diperkenalkan sebelum ini dan telah dihentikan akan diteruskan serta ditambah baik.
“Kita meletakkan sasaran menghantar sekurang-kurangnya 10 mahasiswa Orang Asli melanjutkan pengajian ke luar negara melalui (pembiayaan) Majlis Amanah Rakyat (MARA) diteruskan,”katanya.-SAHIH.