Program Stereng Kasih bantu PJMM kumpul dana
Foto atas : Seorang warga emas yang berkerusi roda dipapah untuk memasuki kenderaan dalam Program Stereng Kasih.
Program Stereng Kasih bantu PJMM kumpul dana
PROGRAM Stereng Kasih menjadi program terkini Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor dalam usaha mengumpul dana membantu operasi pusat berkenaan di samping untuk memaparkan kisah benar penghuni PJMM yang ditubuhkan lebih tujuh tahun lalu.
Bagi menyempurnakan tujuan itu PJM Production ditubuhkan untuk bekerjasama dengan Team Creative Vibes sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Stereng Kasih merupakan rancangan bual bicara berdurasi 10 minit (prarakam) yang akan menggunakan saluran YouTube dan dijangka dilancarkan pada 4 Ogos 2023.
Untuk permulaan program itu, enam penghuni PJMM akan menceritakan pahit getir mengenai sejarah kehidupan mereka sebelum berkelana dan menjadi penghuni pusat berkenaan yang kemudian akan dikongsi kepada penonton, sebagai promo rakaman video itu selama satu minit akan disiarkan dalam TikTok PJM yang kini mempunyai 67.7 ribu pengikut.
Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata idea mengadakan program itu adalah untuk berkongsi pengajaran teladan yang terdapat dalam kisah hidup penghuni warga emas terdampar di PJMM akibat disisih oleh keluarga, anak dan waris selain hidup sebatang kara.
Menurutnya, dengan cara itu juga memberi peluang kepada warga emas terbabit menghilangkan tekanan atau stres dengan meluahkan isi hati terbuku sekian lama yang mungkin dapat membuka mata masyarakat mengenai peranan untuk menghulurkan bantuan selain inisiatif PJMM membantu negara menjaga mereka berkenaan.
“Apabila disiarkan nanti mungkin juga dapat menghebahkan kepada umum mengenai warga emas itu berada dengan selamat serta terjaga dengan baik di PJMM dan juga tidak mustahil akan berlaku ‘ jejak kasih’ untuk menemukan semula mereka dengan waris yang masih hidup atau sebagainya.
“Sebagai pusat jagaan yang beroperasi dengan bantuan ehsan orang ramai dan pelbagai pihak termasuk tidak mengenakan sebarang bayaran kepada warga emas berlindung di sini tetap komited dalam melaksanakan tanggungjawab termasuk berikhtiar mengesan waris terutama apabila ada kes kematian,” katanya.
Katanya, secara tidak langsung Program Stereng Kasih yang dicipta ini diharapkan akan membantu PJMM dalam banyak perkara termasuklah bergerak mencari dana sendiri demi membela kelangsungan hidup warga emas di pusat itu,” ujarnya.
“Rakaman yang dibuat itu, warga emas berkenaan akan dibawa menaiki kenderaan berjalan ke beberapa lokasi bersama pemandu yang berada di sebelah dengan berborak mengenai hal semasa sebelum berlanjutan kepada kisah hidup mereka di PJMM.
“Dalam situasi untuk menghilangkan rasa bosan, , pemandu akan singgah di lokasi tertentu seperti di tepi tasik, pantai, taman bunga sambil minum untuk meneruskan perbualan mereka atau ke warung bagi membasahi tekak dengan menikmati teh tarik dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, usaha temu bual itu akan berlangsung dalam suasana natural yang membuka keselesaan serta kesediaan warga emas berkenaan untuk menceritakan kisah lampau mereka bagi dikongsikan yang mungkin akan bermula pengalaman terlantar di hospital tanpa disantuni waris atau menjadi gelandangan sebelum dihantar ke PJMM.
“Program ini juga umpama kempen kesedaran awam yang bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai kewujudan kes-kes yang berkaitan kerana terdapat komen dalam TikTok PJM, rata-rata rakyat Malaysia semacam tidak percaya wujudnya kes pembuangan ibu bapa.
“Tambahan pula apabila berlaku peningkatan dalam kes tersebut sejak kebelakangan ini, menyebabkan PJMM berasa bertanggungjawab dalam menyebarkan kempen kesedaran awam ini supaya dapat memberikan pengajaran kepada yang menonton,” katanya.-SAHIH.