Program Rumah Ibadat Hijau! NRES sokong usaha jadikan masjid sebagai pusat kelestarian alam sekitar
Foto atas : Nor Yahati (empat dari kiri) melakukan gimit perasmian Karnival Masjid Bestari, di Masjid Al- Hidayah Bandar Behrang 2020, Perak, baru-baru ini.
Program Rumah Ibadat Hijau! NRES sokong usaha jadikan masjid sebagai pusat kelestarian alam sekitar
KONSEP masjid hijau harus dilaksanakan secara proaktif oleh pihak masjid di negara ini supaya institusi itu menjadi pusat kelestarian alam sekitar dalam memupuk budaya hijau dalam kalangan semua ahli kariah.
Ketika berucap merasmikan Karnival Masjid Bestari anjuran Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang (BB) 2020, Behrang dengan kerjasama Malaysia Green Technology and Team Change Progression (MGTC) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Nor Yahati Awang berharap institusi masjid memperkasakan masjid hijau di bawah program Rumah Ibadat Hijau yang digerakkan oleh MGTC.
Nor Yahati bersama ahli Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) yang turut hadir memberi penerangan mengenai kanser payudara.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup hijau dan amalan bestari secara berjemaah di samping istiqamah di masjid dan surau sekali gus dapat menyumbang ke arah Malaysia yang lebih hijau serta mampan.
Menurutnya, premis masjid yang sedia ada dianggap sebagai cekap air, cekap tenaga dan rendah karbon, malah mesra alam dalam mengurangkan impak kepada persekitaran seperti pencemaran serta pelepasan gas rumah hijau.
“Gaya hidup hijau sebegini bukan sahaja mendatangkan manfaat seperti penjimatan kos utiliti bahkan meningkatkan produktiviti masyarakat dan pendekatan teknologi hijau boleh dimanfaatkan dengan optimum,” katanya pada perasmian karnival berkenaan di Behrang, baru-baru ini.
Nor Yahati turut mengalu-alukan sumbangan dan kolaborasi daripada pelbagai pihak supaya program masjid hijau dapat dikembangkan selain NRES menyokong program anjuran masjid kerana ia membantu agenda ke arah kelestarian alam.
“Masjid boleh melaksanakan program masjid hijau setiap tahun atau setahun dua kali kerana ramai orang Islam yang berkemampuan ingin menyumbang secara sukarela kepada masjid.
“Sebagai contoh, projek penukaran lampu, penghawa dingin yang cekap tenaga, pemasangan sistem panel solar, pemasangan bilik cekap air, projek kitar semula serta pembangunan komuniti oleh pihak masjid boleh dimanfaatkan daripada wang sumbangan ahli jemaah atau masyarakat Islam,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Rusli Ahmad, berkata masjid yang sudah mencapai dua dekad penubuhannya tercetus untuk menyertai Rumah Ibadah Hijau di bawah MGTC, Bank Rakyat serta PSAS sebagai rakan strategik sehingga berjaya menganjurkan Karnival Masjid Bestari untuk kali pertama.
Pengarah program berkenaan, Fauzi Ghani, pula berkata antara aktiviti yang dijalankan dalam karnival masjid bestari itu seperti solat berjemaah; kuliah maghrib, isyak dan subuh serta qiamullail; pertandingan mewarna kanak-kanak; pertandingan memanah; majlis pelancaran karnival masjid bestari; slot ceramah kelestarian alam; dan cekap tenaga.
Terang beliau, pelajar dan komuniti setempat didedahkan mengenai program kesedaran kesihatan oleh Klinik Kesihatan Tanjung Malim dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) untuk memberi informasi kesihatan.
“Saya berharap program ini dapat memperkasakan peranan masjid dan membentuk minda ahli kariah supaya lebih berminat untuk mengimarahkan masjid sama ada melakukan ibadah wajib atau aktiviti kebajikan lain,” katanya lagi.-SAHIH