Program Mobile Spa perkasa wanita desa, JPW Pahang-Bellanies jalin kerjasama strategik
Program Mobile Spa perkasa wanita desa, JPW Pahang-Bellanies jalin kerjasama strategik
TEMERLOH – Pengasas Bellanies, Rosyatina Wahab, dengan kerjasama strategik bersama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Pahang, Kelab Usahawan Desa, Dewan Nita Pahang serta sokongan Dewan Perniagaan Melayu Pahang akan menganjurkan Program Mobile Spa bermula 8 Februari ini di Ayu Spa, Temerloh.
Program itu turut mendapat sokongan Pengerusi Kelab Usahawan Desa Temerloh, Mastura Abdul Malik, sebagai antara peneraju inisiatif bagi memperkasa wanita desa, suri rumah, ibu tunggal dan wanita yang belum mempunyai pekerjaan tetap ke arah keusahawanan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Program berkenaan dirancang sebagai inisiatif berterusan yang akan dilaksanakan setiap bulan bagi memperkukuh pemerkasaan ekonomi wanita di peringkat komuniti, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut penganjur, Program Mobile Spa diwujudkan bagi memberi pendedahan dan latihan secara praktikal kepada peserta merangkumi kemahiran rawatan asas spa, pengurusan pelanggan, etika kerja serta penggunaan produk yang selamat dan berkualiti.
Katanya, pendekatan latihan secara langsung itu membolehkan peserta memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah atau secara bergerak (mobile spa) tanpa memerlukan modal yang besar.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JPW Pahang dan rakan strategik dalam menyokong agenda pemerkasaan wanita, seiring dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, peluang ekonomi dan pembangunan insan,” katanya.
Kerjasama strategik antara JPW Pahang, Kelab Usahawan Desa, Dewan Nita Pahang dan pihak industri seperti Bellanies membuktikan komitmen padu pelbagai pihak dalam melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya saing dan mampan.

Tambahnya, program ini bukan sahaja memberi kemahiran teknikal, malah turut menyediakan sokongan jangka panjang melalui jaringan usahawan, bimbingan serta peluang pemasaran kepada peserta.
Golongan wanita yang berminat digalakkan menghubungi pihak penganjur dengan segera kerana penyertaan adalah terhad dan program akan diteruskan secara berkala sebagai platform sokongan kepada wanita yang ingin menjana pendapatan demi kesejahteraan keluarga dan masa depan diri.-SAHIH
