Program Jualan Keluarga Malaysia cuba atasi ‘kartel’ yang kawal harga dan bekalan barangan
Program Jualan Keluarga Malaysia cuba atasi ‘kartel’ yang kawal harga dan bekalan barangan
JERANTUT – Program Jualan keluarga Malaysia (PJKM) diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah di samping atasi ‘kartel’ yang mengawal harga dan bekalan barangan.
PJKM merupakan kerjasama di antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan (MOF) serta agensi-agensi di bawahnya dalam menangani situasi kenaikan harga barangan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, program itu merupakan kerjasama di antara semua agensi kerajaan menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda dunia dan Malaysia.
“Sebanyak 37 jumlah produk yang terdiri daripada pelbagai barangan keperluan harian dengan harga sehingga potongan harga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dari kalangan berpendapatan rendah.
“Antara barangan yang dijual semasa program ialah, ayam; ikan ; telur; sayur-sayuran; minyak masak; gula; tepung; beras dan barangan yang telah diproses,” katanya ketika di majlis tersebut, hari ini.
Katanya, beliau mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan dan menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dan memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia dan negara.
Turut hadir, Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris, Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, DSP Azman Mat Kamis dan Pengurus KPDNHEP Cawangan Jerantut, Abdul Mubin Ahmad.
“Kita akan cuba mencegah sebarang ‘kartel’ yang mengawal harga dan bekalan barangan keperluan yang sewajarnya tidak boleh menjadi bebanan kepada rakyat atau pengguna.
“Pegawai terlibat akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan harga barangan dalam pasaran,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan penyaluran aduan, orang ramai khususnya rakyat Pahang boleh hubungi ke talian whatsapp di 019-279 4317, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my atau melalui e-mel ke eaduan@kpdnhep.gov.my.