Program Jualan Keluarga Malaysia bantu ringan kos sara hidup
Program Jualan Keluarga Malaysia bantu ringan kos sara hidup
LIPIS – Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di bawah penyelenggaraan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang yang membantu meringankan kos sara hidup penduduk yang berpendapatan rendah berjalan lancar.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri mencadangkan supaya PJKM terus dilaksanakan di kawasan pinggir bandar, Felda dan kampung supaya memudahkan kalangan pengguna atau penduduk berpendapatan rendah untuk mendapatakan bekalan keperluan dapur.
“Kerajaan negeri berpuas hati dan pada masa yang sama PJKM boleh membantu pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) daripada kampung dan Felda memasarkan hasil seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan produk makanan kering keluaran sendiri.
“PJKM yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember 2021 perlu dimanfaatkan oleh penduduk luar bandar kerana kuasa membeli dan permintaan semakin banyak khususnya barang keperluan dapur lebih lagi menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi,” katanya.
Wan Rosdy berkata kepada media selepas melakukan lawatan PJKM di Laman Sejahtera, Felda Sungai Koyan Satu dekat sini hari ini. Yang turut hadir, iaitu wakil Pengarah KPDNHEP Pahang, Fatin Najwa Hasbullah.
Beliau berpuas hati PJKM di Felda Sungai Koyan Satu yang dilaksanakan selama dua hari berjaya mengetengahkan pengusaha IKS memasarkan prodok keluaran sendiri dan hasil pertanian dengan harga yang cukup murah bagi kemudahan pengguna yang berbelanja di situ.
“Kerajaan negeri juga berterima kasih kepada rakan strategik KPDNHEP Pahang, iaitu pasar raya dan peniaga tempatan yang membantu menjual barang keperluan dapur di PJKM berasaskan harga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran untuk keselesaan pengguna berbelanja.
“Kerajaan negeri juga berterima kasih atas kerjasama antara KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan (MOF) serta agensi di bawahnya berusaha terus menerus menangani kenaikan harga barang di negara ini,” katanya.
Beliau menyeru peruncit dan peniaga di luar bandar termasuk yang menyertai PJKM supaya menjual sayur-sayuran dan buah-buahan termasuk ternakan ikan lebih murah daripada harga pasaran untuk keselesaan penduduk yang berpendapatan rendah berbelanja.
“Hal ini sekali gus meringankan beban penduduk ada sesetengahnya masih lagi dalam tempoh pemulihan banjir serta tekanan pendapatan berikutan ancaman pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, sorang penduduk Orang Asli Betau, Lijah a/p Anjang, 45, berkata, dia berpeluang keluar berbelanja barang keperluan di PJKM untuk tempoh dua minggu dengan harga yang murah berbanding tempat lain.
“Lebih elok PJKM kerap diadakan di Sungai Koyan Satu, kerana penduduk Orang Asli pedalaman Ulu Jelai dapat keluar berbelanja dan tidak perlu lagi ke bandar Kuala Lipis dan Raub yang agak jauh dari tempat kami,” katanya.
Penduduk Orang Asli Kampung Simoi Baru, Sabri a/l Sigon, 50, berkata, dia dapat dapat berbelanja barang makanan dengan kadar 20 peratus jauh lebih rendah sekali gus dapat menjimatkan wang untuk keperluan lain.
“Kita (Orang Asli) yang kebanyakannya mempunyai pendapatan yang kecil di kampung cuma mengharapkan barang keperluan dapur dengan harga yang murah dan kemudahan berbelanja PJKM memperoleh semua barang yang dikehendaki serta berpuas hati,” katanya.-SAHIH.