Program Hogoh Jelai Gagal, Cerminan Rakyat Tolak Naratif PAS di Pahang
Program Hogoh Jelai Gagal, Cerminan Rakyat Tolak Naratif PAS di Pahang
LIPIS – Program Hogoh Jelai anjuran PAS yang digembar-gemburkan kononnya bakal menghimpunkan lebih 30,000 penyokong, ternyata gagal mencapai sasaran, sekaligus memperlihatkan penolakan rakyat terhadap naratif pembangkang yang cuba menggugat kestabilan pentadbiran Kerajaan Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut Ahli Dewan Undangan Lantikan Negeri, Haris Salleh Hamzah, kegagalan program tersebut menjadi isyarat jelas bahawa rakyat semakin bijak menilai prestasi kerajaan negeri yang terbukti berjaya membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada seluruh pelosok Pahang, termasuk kawasan luar bandar seperti Jelai.
“PAS cuba memainkan sentimen bahawa kerajaan negeri gagal membela Islam dan ekonomi rakyat, tapi hakikatnya, prestasi Menteri Besar jauh menenggelamkan dakwaan mereka.
“Projek infrastruktur berjalan, ekonomi negeri meningkat, pelaburan bertambah, malah laporan Audit Negara menunjukkan pengurusan cemerlang tanpa teguran,” katanya.
Beliau berkata, program Hogoh Jelai yang digembar-gemburkan sebagai “kebangkitan rakyat” akhirnya menjadi sekadar pesta dalaman parti, tanpa sambutan daripada masyarakat umum.
“Hogoh akhirnya jadi hoget iaitu goyah dan hambar. Kehadiran hanya daripada ahli-ahli PAS sendiri, dengan peratusan kecil daripada rakyat atas pagar. Ini membuktikan rakyat Pahang sudah matang menilai antara kaca dan permata.
“Program berkenaan turut memperlihatkan kelemahan dalaman gabungan Perikatan Nasional (PN), apabila beberapa pimpinan utama terutama dari parti Bersatu tidak hadir, sekaligus menunjukkan keretakan dalam pakatan itu.
”Macam mana nak teraju negeri kalau kapal sendiri pun hampir karam? Rakyat nampak jelas siapa yang bekerja, siapa yang hanya pandai berceramah,” katanya lagi.
Beliau turut menempelak tindakan wakil rakyat PAS yang didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan baik, sebaliknya menyalurkan peruntukan lebih kepada kepentingan parti.
“Kerajaan negeri tetap bersikap adil menyalurkan peruntukan kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang. Tapi apa yang kita lihat, sebahagian daripada mereka gunakan untuk PASTI dan program parti, bukan untuk kesejahteraan rakyat keseluruhan,” katanya.
Katanya, kegagalan program Hogoh Jelai menjadi bukti jelas bahawa rakyat semakin yakin dengan kepimpinan kerajaan negeri yang konsisten dalam melaksanakan agenda pembangunan dan kebajikan, bukan sekadar retorik politik.
Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Datuk seri Ismail Mohamad Said melalui akauan Facebook Himpunan Hogoh Jelai 30K tidak mendapat sambutan.
”Kehadiran malam itu sekitar 1,500 orang dan Fun Run yang menyertai kira-kira 100 orang sahaja.
”Ini bukan Hogoh tapi terhegeh2 je hehehe. MB Pahang dah buat macam-macam untuk pembangunan dan kebajikan orang Jelai dan Pahang. Moh kita pertahankan Pahang melalui Aspirasi Pahang 1st,” katanya. -SAHIH.