PRK Ayer Kuning Bukti UMNO Terus Diterima Anak Muda – Razak
PRK Ayer Kuning Bukti UMNO Terus Diterima Anak Muda – Razak
JERANTUT – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menjadi bukti bahawa UMNO terus diterima oleh masyarakat khususnya golongan muda, kata Ketua UMNO Cawangan Jengka, Razak Daud.
Menurut beliau, walaupun UMNO sebelum ini melalui fasa mencabar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beberapa siri PRK termasuk di Pelangai, Simpang Jeram, dan kini Ayer Kuning memperlihatkan peningkatan semangat akar umbi parti.
“Anak-anak muda kini sudah mula menerima UMNO kembali. Kita lihat corak pengundi muda sudah berubah. Mereka mahu kestabilan, dan UMNO dilihat kembali relevan,” katanya ketika ditemui di Persidangan UMNO Cawangan Felda Jengka 24 di Dewan Mat Kilau, Jengka 24.
Razak yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut berkata, corak kerja jentera UMNO yang diketuai oleh YB Haris Salleh Ketua bahagian umno Jerantut pada PRK Ayer Kuning juga sangat tersusun dan agresif, memperlihatkan semangat luar biasa yang memberi bayangan persediaan mantap menjelang PRU16.
“Kita turun ke kampung, ke felda, ke rumah pengundi… jentera kita kerja siang malam. Ia bukan sekadar PRK, tetapi latihan besar untuk menghadapi PRU akan datang,” tambahnya.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan penyandangnya Ishsam Shahruddin, meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada tahun lalu .
Menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan padu, malah keputusan menunjukkan peningkatan sokongan berbanding PRU lalu.
Dalam pada itu, Razak turut menggesa semua jentera UMNO di seluruh negara menjadikan kejayaan di Ayer Kuning sebagai inspirasi bagi menghadapi PRU16 dengan lebih berstrategi.
“PRK ini bukan sahaja menang kerusi, tetapi menang semangat. UMNO belum selesai – kita baru bermula,” ujarnya tegas.-SAHIH