Presiden Angkasa terajui koperasi Kendali
Presiden Angkasa terajui koperasi Kendali
Foto atas : Datuk Seri Dr Abdul Fattah (duduk 4 dari kiri) bersama jawatankuasa yang baru dilantik.
LIPIS – Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah pilih semula sebagai Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis Berhad (Kendali) dalam mesyuarat agung kali Ke-34 koperasi tersebut, di Dewan UMNO Lipis, Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini.
Kewibawaannya sebagai presiden Angkasa diberi kepercayaan dan mandate oleh ahli Kendali yang seramai kira-kira 5,000 untuk terus menerajui koperasi itu.
Abdul Fattah yang berasal dari Kampung Lubuk Kulit, Lipis hampir dua dekad mengetuai koperasi itu yang terdiri daripada pekebun kecil getah dan sawit kebanyakannya penduduk luar bandar Lipis sebulat suara dipilih dalam mesyuarat tersebut.
Menurut Abdul Fattah, beliau berterima kasih kepada ahli Kendali kerana melantiknya semula untuk menerajui koperasi tersebut yang telah mengukir banyak kejayaan dalam sektor perladangan serta pemasaran getah dan sawit juga menghasilkan perolehan keuntungan serta manfaat dividen tahunan untuk ahli.
“Koperasi ini (Kendali) akan melebarkan sektor perladangan komoditi tersebut dan terbaharu kami sudah merancang untuk bergiat dalam bidang peruncitan barang makanan di kedai koperasi dan juga milik ahli sendiri untuk membantu penduduk luar bandar berbelanja barang keperluan dapur dengan harga yang lebih murah,” katanya selepas Mesyuarat Agung Kendali di Dewan UMNO Lipis, Kuala Lipis, Lipis, baru-baru ini.-SAHIH.