PREMIS HAIWAN PELIHARAAN DISERBU MILIKI HAIWAN LIAR
PREMIS HAIWAN PELIHARAAN DISERBU MILIKI HAIWAN LIAR
JOHOR BAHRU: Pemilik premis haiwan peliharaan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang di sini tidak serik apabila mengulangi kesalahan sama iaitu memiliki hidupan liar tanpa sebarang permit kebenaran daripada pihak berkuasa.
Kegiatan lelaki berusia 34 tahun itu terbongkar apabila premis itu diserbu sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, semalam.
Pengarah Jabatan Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, serbuan itu dijalankan pihaknya pada pukul 5.30 petang.
“Dalam operasi berkenaan, Perhilitan Johor menemukan 15 ekor burung murai batu hidup, dua ekor burung hwamei hidup, dua ekor burung serindit hidup dan tiga ekor ayam hutan hidup.
“Turut dirampas adalah 16 sangkar buluh dan tiga sangkar besi. Nilai rampasan keseluruhan adalah RM13,800,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Salman, siasatan dibuat mendapati pemilik premis berkenaan tidak memiliki sebarang surat kebenaran untuk menyimpan hidupan liar tersebut daripada Jabatan Perhilitan.
“Premis berkenaan pernah diserbu atas kesalahan sama pada awal tahun ini di mana siasatan terhadap kes itu masih dijalankan, lapor Utusan Online.
“Laporan polis berhubung operasi ini telah dibuat dan kes akan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” ujarnya.