PREMIS DIINGATKAN PATUHI SOP DAN PERATURAN PENIAGAAN
PREMIS DIINGATKAN PATUHI SOP DAN PERATURAN PENIAGAAN
JERANTUT: Peniaga di sekitar bandar Jerantut diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk mempamerkan tanda harga barang dan menggunakan alat timbang sukat yang sah menjelang perayaan sambutan Hari Raya Aidil Adha esuk.
Ketua Cawangan Jerantut, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehawal Pengguna (KPDNHEP) , Abdul Mubin Ahmad berkata, operasi mengejut ke premis perniagaan mendapati semua menepati SOP dan peraturan yang ditetapkan termasuk timbang dan sukat.
“Malah tuan punya premis mematuhi peraturan dengan meletakkan pengimbas suhu, buku daftar, kod QR dan cecair sanitasi.
“Selain itu, pemerhatian anggota kami mendapati orang ramai turut mematuhi peraturan SOP dengan menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,”katanya selepas lawatan mengejut di sekitar bandar ini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, pemeriksaan bekalan barang keperluan asas sambutan Hari Raya Aidil Adha mencukupi.
“Saya mendapat laporan daripada KPDNHEP, pemeriksaan telah dilakukan dan mendapati barang keperluan seperti daging lembu dan kerbau, ayam standard, ikan dan sayuran mencukupi.
“Termasuk gula, minyak masak paket dan berbotol, tepung gandum, beras dan barangan kering lain mencukupi,” katanya.
Katanya, orang ramai jangan melakukan pembelian panik dengan melakukan pembelian dengan kuantiti besar, bekalan barangan untuk menghadapi perayaan hari raya korban tahun ini cukup dan tiada masalah.
“Pematuhan SOP Pemulihan Fasa kedua di Pasar Awam Jerantut dan Kedai Runcit dan sekitar menunjukkan semua premis sedar akan pematuhan yang dikehendaki termasuk orang ramai,” katanya.-SAHIH.