Prasekolah SK Felda Redong jadikan angklung kebitaraan
Foto atas : Ahli pasukan angklung prasekolah SK (Felda) Redong merakamkan kenangan bersama-sama pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
Prasekolah SK Felda Redong jadikan angklung kebitaraan
PRASEKOLAH di Sekolah Kebangsaan (Felda) Redong (SKFR), Segamat, menjadikan angklung sebagai kebitaraannya di samping merealisasikan alat muzik berkenaan untuk memupuk minat serta memperkembang bakat murid dalam seni muzik dan keseronokan belajar.
Tujuan itu untuk menyuntik semangat murid prasekolah untuk hadir ke sekolah sekali gus menaikkan peratus kehadiran murid ke sekolah setiap hari, pada masa yang sama terciptanya kemenjadian murid prasekolah SKFR.
Penubuhan pasukan angklung prasekolah berkenaan bermula sejak tahun 2018 sehingga kini terus aktif selain merupakan satu-satunya kumpulan angklung prasekolah ada di daerah Segamat atau Johor amnya.
Cikgu Nurul Sapiah Ma’arof yang bertindak sebagai jurulatih pasukan angklung itu, berkata maka tidak hairanlah prasekolah SKFR mempunyai pengalaman lebih dari lima tahun dalam memainkan alat muzik itu dan merupakan suatu amalan terbaik.
Katanya, sehubungan itu dengan kekuatan dan sokongan mantan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail; mantan Guru Besar SKFR, Abdul Rahim Kasdi; dan Guru Besar SKFR sekarang Rabiah Ahmad, prasekolah diberi tanggungjawab untuk merealisasikan kebitaraan angklung sebagai identiti.
Tambahnya, pasukan prasekolah yang terdiri dalam kalangan kanak-kanak prasekolah SKFR berumur antara lima dan enam tahun itu gigih mengikuti latihan serta bimbangan secara berjadual dilakukan oleh beliau dengan pembantu jurulatih iaitu Cikgu Muhammad Arham, Maznah Abu Kassim dan Asiah Omar.
Cikgu Nurul Sapiah yang merupakan guru prasekolah SKFR menjelaskan, latihan serta bimbingan yang diberikan itu adalah untuk memantapkan kemahiran dalam penggunaan angklung dan memainkan lagu semasa bagi melahirkan murid yang cintakan budaya sekali gus menzahir kemenjadian murid.
“Sokongan yang amat baik daripada guru besar, barisan pentadbir dan guru, saya berkeyakinan pasukan angklung prasekolah ini akan terus cemerlang pada masa akan datang dengan memenangi banyak pertandingan.
“Dalam kalangan Ibu bapa pula mereka sangat teruja apabila wujudnya aktiviti permainan angklung pada peringkat prasekolah untuk anak-anak mereka khususnya disamping memuji keyakinan anak mereka memainkan alat muzik ini di hadapan orang ramai bukanlah perkara yang mudah,” katanya.
Katanya, keprihatinan ibu bapa untuk memastikan kehadiran anak mereka ke sekolah adalah sangat menggalakkan ditambah lagi ada daya tarikan keseronokan ke sekolah untuk mempelajari angklung setiap hari.
“Alat muzik itu juga memberi pengalaman yang berguna kepada murid-murid prasekolah dalam membuat persembahan permainan tradisi dan memupuk kesedaran estetik mereka selain mewujudkan semangat bekerjasama serta rasa tanggungjawab dalam satu kumpulan.
“Pasukan angklung ini juga menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan murid dengan menerapkan disiplin dan mematuhi arahan terutama pada sesi latihan disamping mengeratkan silaturahim dan kemesraan antara guru serta murid,” katanya.-SAHIH.