PR1MA Penjom Perintis Rumah Hijau Tenaga Solar di Pahang
PR1MA Penjom Perintis Rumah Hijau Tenaga Solar di Pahang
LIPIS – Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Penjom di Tempoyang muncul sebagai perumahan pertama di negeri ini dilengkapi Sistem Solar 2.4Kw (GSPARX) dan Meter Pintar, sekali gus menjadi perintis kepada pembangunan hijau dan tenaga boleh diperbaharui di Pahang.

Abdul Rahman menyerahkan kunci rumah kepada salah seorang penerima di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Makmur Kuala Lanar dan Pelancaran PR1MA Pahang Penjom, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam menggabungkan elemen kelestarian alam dengan agenda perumahan mampu milik untuk rakyat.
“Penyediaan sistem solar bukan sahaja mengurangkan kos elektrik isi rumah, malah menyokong aspirasi negeri ke arah penggunaan tenaga bersih serta memperkukuh agenda Pahang sebagai negeri hijau menjelang 2030.
“Projek PR1MA Pahang Penjom dibangunkan oleh Living Stone Development Sdn. Bhd. di atas tanah kerajaan seluas 34 ekar dengan menampilkan 108 unit rumah berkembar, 103 unit rumah teres, enam unit rumah berkembar tambahan dan 11 unit rumah kedai,”katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Makmur Kuala Lanar dan Pelancaran PR1MA Pahang Penjom, di sini, hari ini.
Kata, dalam masa sama, Projek Rumah Makmur Kuala Lanar Fasa 1B turut diserahkan melibatkan 125 unit rumah baharu dengan harga RM80,000 seunit yang siap sepenuhnya pada Ogos lalu, dibangunkan oleh Meswara Trading Sdn. Bhd.
“Ia kesinambungan daripada Fasa 1A yang menyiapkan 100 unit rumah pada tahun sebelumnya. Projek ini dibina di atas tanah kerajaan seluas 81 ekar dan menjadi model komuniti luar bandar moden serta sejahtera.
“Setakat ini, sebanyak 25 projek Rumah Makmur dengan 7,738 unit kediaman dan 191 projek PR1MA Pahang melibatkan 52,602 unit dirancang di seluruh negeri dan daripada jumlah itu, 49 projek dengan 8,809 unit telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC),” katanya.
Abdul Rahman menegaskan, harga rumah di bawah skim mampu milik itu ditetapkan lebih rendah daripada harga pasaran bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu memiliki kediaman sendiri.
“Program ini sejajar dengan aspirasi ‘Pahang 1st’ yang menekankan kesejahteraan rakyat serta pembangunan seimbang antara ekonomi dan kelestarian alam,” katanya.-SAHIH.