PPS PATUH SYARIAH
KERJASAMA JKM, NADMA & NGO WUJUDKAN PPS MEMILIKI KRITERIA BERKENAAN
REMBAU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini dalam proses untuk mewujudkan pusat pemindahan banjir patuh syariah khusus bagi kebajikan umat Islam seperti ibu menyusu, ibu bersalin dan pesakit terlantar yang terlibat dalam bencana alam banjir.
Menurut laporan Utusan Online, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, pelaksanaannya akan membabitkan penyediaan ruang solat yang khusus, pengasingan tempat tidur lelaki dan perempuan serta pengisian rohani dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan.
SITI Zailah Mohd Yusoff
Menurutnya, buat masa ini JKM telah menyediakan penghadang mudah alih dan keperluan ini dijangka mencukupi untuk digunakan di kesemua 5,422 pusat pemindahan banjir yang terdapat di seluruh negara.
“Ini memang permintaan saya secara khusus dan kita telah berbincang dengan pihak kementerian dan juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Jabatan Perdana Menteri supaya pelaksanaan patuh syariah ini dilaksanakan di pusat pemindahan banjir dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan juga sukarelawan bagi pengurusan yang lebih sistematik.
“Langkah ini diambil kerana bila kita turun padang, ada mangsa banjir yang tidak selesa untuk tukar baju dan kadang-kadang bila nak tidur ada yang memerhati. Jadi kita sediakan dinding penghadang atau terpulang mengikut suasana pusat pemindahan serta pihak pengurusan untuk menyediakan kemudahan patuh syariah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Kembara Prihatin Negara Peringkat JKM Negeri Sembilan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Daerah Rembau, di sini hari ini.