PPP SOKONG PENDEKATAN SAMA RATA KERAJAAN PAHANG, CADANG TUBUH SURUHANJAYA PENDIDIKAN
PPP SOKONG PENDEKATAN SAMA RATA KERAJAAN PAHANG, CADANG TUBUH SURUHANJAYA PENDIDIKAN
BENTONG – Parti Progresif Penduduk (PPP) menyatakan sokongan terhadap pendekatan pentadbiran kerajaan Pahang yang mengamalkan prinsip kesamarataan dalam pemberian peluang kepada rakyat tanpa mengabaikan keperluan golongan tertentu.
Presidennya, Datuk Loga Bala Mohan, berkata prinsip sama rata yang dilaksanakan di Pahang wajar dijadikan contoh di peringkat nasional kerana ia memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan berlaku adil berdasarkan kelayakan dan keperluan semasa.
Menurut beliau, walaupun PPP memahami keperluan untuk memberi perhatian khusus kepada kaum teras, prinsip kesamarataan tetap perlu dilaksanakan dalam konteks kelayakan, khususnya dalam aspek pendidikan dan peluang sosial.
“Kalau seseorang itu layak, berilah peluang. Jangan menafikan hak mereka hanya kerana faktor tertentu. Kita lahir, hidup dan mati di negara ini, maka semua rakyat berhak mengharapkan layanan yang adil,” katanya kepada pemberita.

Datuk Loga Bala Mohan – Presiden PPP Malaysia
Dalam pada itu, PPP berpandangan kepimpinan Barisan Nasional di Pahang kekal stabil dan diyakini rakyat, sekali gus membuktikan keupayaan gabungan tersebut mentadbir negeri secara berkesan.
Beliau berkata, di bawah pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kerajaan Pahang dilihat konsisten mengekalkan dasar pentadbiran yang menitikberatkan keadilan sosial, kestabilan politik serta pembangunan seimbang merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
Tambahnya, pendekatan inklusif yang diamalkan kerajaan negeri itu bukan sahaja mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan sedia ada, malah membuktikan Barisan Nasional masih relevan sebagai sebuah gabungan yang berkeupayaan mentadbir dengan matang dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat.
Mengulas isu pendidikan, Datuk Loga mencadangkan penubuhan satu Suruhanjaya Diraja Pendidikan bagi menilai semula sistem sedia ada agar lebih menyeluruh dan mampu memperkukuh perpaduan nasional.
“Sistem pendidikan bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi membentuk nilai hidup, budaya serta kefahaman hidup bermasyarakat.
Kita perlukan satu pembaharuan supaya pendidikan benar-benar berfungsi sebagai medium penyatuan rakyat,” katanya.
Menyentuh hala tuju politik menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, beliau menegaskan PPP akan terus bersama Barisan Nasional dan tidak akan menggunakan sebarang tekanan politik, sebaliknya menyerahkan keputusan kepada keadaan semasa serta kelayakan calon.
“PPP bukan parti yang meninggalkan rakan selepas tewas. Prinsip kami jelas dan konsisten. Kami akan terus menyokong Barisan Nasional demi kestabilan dan masa depan negara,” katanya.-SAHIH
