PPJK berjaya anjur program tertangguh dua tahun kerana Covid-19
Foto atas : Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Hulu Selangor menunjukkan demonstrasi memadam api kebakaran pada program Kempen Cegah Denggi, Keselamatan Kebakaran dan Penyerahan Sumbangan Persatuan Penduduk Jalan Kiambangsari (PPJK), Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor.
PPJK berjaya anjur program tertangguh dua tahun kerana Covid-19
RAWANG – Program komuniti Persatuan Penduduk Jalan Kiambangsari (PPJK), Bandar Sungai Buaya, Rawang yang tertangguh hampir dua tahun berjaya dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Hasrat penduduk pelbagai kaum dalam komuniti itu untuk menganjurkan program Kempen Cegah Denggi, Keselamatan Kebakaran dan Penyerahan Sumbangan kepada ibu tunggal serta anak asnaf yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 diadakan baru-baru ini.
Program itu dianjurkan bersama antara PPJK dan Ahli Majlis Hulu Selangor (Zon 22), Marina Jayaseelan yang turut merasmikan majlis kempen berkenaan.
Pengerusi PPJK, Zaharin Md Sah, berkata tujuan program itu diadakan bagi mendidik masyarakat dalam pelbagai perkara penting terutama kempen pencegahan denggi dan keselamatan kebakaran kejiranan terbabit demi kesejahteraan hidup dan menyelamatkan nyawa.
Katanya, di samping itu program berkenaan juga untuk tidak ketinggalan menyantuni ibu tunggal dan anak asnaf yang cemerlang dalam keputusan SPM 2021 lalu memandangkan kehidupan mereka serba kekurangan tetapi tetap mengutamakan pelajaran.
“Sebagai menyahut saranan kerajaan dalam aspirasi Keluarga Malaysia, program berkenaan mampu meningkatkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk pelbagai kaum di komuniti itu apabila membabitkan diri dengan aktiviti sosial ke arah gaya hidup sihat.
“Saya berasa amat bersyukur apabila program ini berjalan lancar dan mendapat sambutan mengalakkan daripada kejiranan Kiambangsari ibarat kemesraan kembali bertaut kerana sebelum ini terpaksa berkurung dalam rumah dalam usaha membantu membanteras wabak Covid-19,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Kali, Harumaini Omar turut hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal dan anak asnaf terbabit. -SAHIH.