PPDA BOMBA SEDIA HADAPI BANJIR
SOP KETAT PROSES PEMINDAHAN PENDUDUK TERJEJAS BANJIR PERLU DIPATUHI
TEMERLOH: Pasukan Penyelamat Di Air (PPdA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang sudah bersedia untuk digerakkan jika berlaku banjir besar di negeri ini.
Pengarah JBPM Pahang, Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, seramai 19 pegawai dan anggota PPdA yang ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, dekat sini mempunyai kepakaran bagi membantu kerja memindahkan penduduk terjejas banjir dalam pelbagai situasi.
“Pegawai dan anggota PPdA untuk Pahang memang ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin dan mereka boleh digerakkan ke mana-mana lokasi banjir bagi membantu proses pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Memandangkan ketika ini kita masih berdepan ancaman COVID-19, jadi ada prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi antaranya dengan pemakaian topi keledar lengkap dengan visor dan pakaian pelindung diri (PPE) seperti disarankan Kementerian Kesihatan.
“Mengenai PPE ini, pihak JBPM mempunyai baju hujan yang dikhaskan bagi tujuan membantu memindahkan penduduk terjejas banjir yang berisiko atau bergejala untuk melindungi pegawai dan anggota kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Hashnuddin Hussin.
Lawatan itu bagi melihat sendiri persiapan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin serta memeriksa tahap kesiapsiagaan aset di balai bomba berkenaan.
Sementara itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, pihaknya masih menjalankan proses sanitasi di beberapa lagi PPS dan proses itu dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya minggu depan.
“Mengenai proses sanitasi di PPS, kita jangka boleh siapkan dalam seminggu lagi… sebahagian (PPS) sudah selesai (proses sanitasi) dan ada lagi yang masih dalam proses,” katanya.