Potensi KEMAS serlah bakat kanak-kanak
Potensi KEMAS serlah bakat kanak-kanak
TEMERLOH – Program Hari Potensi KEMAS yang membabitkan aktiviti kokurikulum Taman Bimbingan Kanak-Kanak ( TABIKA) kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun banyak memberi kejutan dan mengujakan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berkenaan.
Ini kerana kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun menyerlahkan bakat terpendam ketika menyertai pertandingan sempena hari berkenaan di peringkat daerah, Parlimen dan zon sebelum ke peringkat negeri dan kebangsaan.
Hari Potensi KEMAS diadakan secara bergilir tahun acara bakat dan sukan dianjurkan di peringkat zon, Parlimen,Negeri dan Kebangsaan menyerlah bakat kanak-kanak di peringkat ` akar`.
Acara bakat yang dipertandingkan antaranya boneka tangan, bercerita, Story Telling, Rekacipta, Tilawah & Terjemahan,Pidato, Nasyid,Tarian, dan Kompang Berformasi.
Acara Sukan pula ialah Futsal, bola jaring, rounders, Formula One, Sprint Hurdles (Lari Berhalangan), Gerak Kreatif yang menguji kemahiran minda dan fizikal.
Seorang bapa Khirrul Nirwan Bahaudin,43, mengaku terkejut dan teruja apabila melihat anak kedua Noah Ramadhan,6, memiliki bakat dan kemahiran luar biasa dalam permainan bola sepak.
Menurutnya, dalam perlawanan futsal anak saya dapat mengawal bola dengan baik dan meledakkan beberapa gol setiap perlawanan walaupun berusia enam tahun.
“ Terima kasih kepada guru KEMAS dan jurulatih kerana dapat mencungkil bakat permainan bola sepak yang saya sendiri tidak pernah menjangka.
“ Bakat anak saya itu mungkin mengikut jejak saya sebagai atlet sukan lumba basikal semasa remaja pernah mewakili Pahang dalam Sukan Malaysia,“ katanya.
Seorang lagi bapa Ahmad Fadzil Mat Piah,35, berkata, aktiviti yang dijalankan KEMAS selain mencungkil bakat dapat membentuk keyakinan diri, memberikan kecergasan mental dan ketangkasan fizikal dan mengembangkan minat.
Katanya, anak saya Putra Muhammad Harraz sering menonton perlawanan bola sepak di Astro sejak dahulu dan mengenal beberapa pemain bola sepak ternama dunia.
Seorang jurulatih bola sepak TABIKA Kemas Parlimen Temerloh Mohd Azhar Saad,35 berkata, pertandingan seperti ini dapat menggalak dan mengembangkan bakat, kebolehan, minat, kreativiti dan nilai estetika serta penguasaan pelbagai elemen kemahiran kanak-kanak.
Bagi seorang guru TABIKA Norsiah Abdullah,34, berkata program Hari Potensi menepati objektifnya iaitu memupuk dan mengukuhkan nilai-nilai murni, keyakinan diri, kecergasan mental dan fizikal, sikap bertolak ansur, kerja berpasukan serta menghargai warisan budaya dalam diri kanak-kanak.
“ Disamping aktiviti bersepadu seperti ini dapat menyediakan ruang kepada ibu bapa/penjaga mengenalpasti potensi serta perkembangan diri kanak-kanak dari aspek sosio-emosi, fizikal, intelek dan rohani,“ katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan Komoditi, Negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, KEMAS telah berjaya memupuk nilai-nilai murni, membentuk keyakinan diri lebih awal di kalangan generasi muda Malaysia.
Beliau memuji KEMAS sentiasa membuat penambahbaikan dalam aspek kokurikulum dan kaedah pembelajaran TABIKA mengikut peredaran masa abad ke-21.
“Kanak-kanak sejak berusia sangat muda telah bersedia menghadapi cabaran globalisasi dan generasi yang berdaya saing, berjiwa kental, patriotik,“ katanya ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang di SK Bukit Cermin Mentakab hari ini.-SAHIH.