Posting terakhir Raja Petra Kamaruddin sebelum meninggal dunia.
Posting terakhir Raja Petra Kamaruddin sebelum meninggal dunia.
Amaran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terbabit dalam jenayah, mencemarkan nama negara, atau dihukum oleh mahkamah adalah tindakan wajar dalam usaha menjaga status dan maruah Istana Negara.
Inilah antara isu terakhir yang dikupas oleh penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin, dalam hantaran videonya menerusi akaun Malaysia Today di Facebook dua hari lalu. Allahyarham menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong itu sebagai satu tindakan tegas yang perlu dilaksanakan.
“Pada tahun 1970-an, terdapat satu jenaka di kalangan penjara apabila pengarah penjara membuat ucapan di hadapan banduan, beliau akan berkata, ‘Tun, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, Tuan Haji, dan banduan sekalian.’
“Sebabnya, ramai orang yang bergelar Datuk atau Tan Sri, malah ada juga daripada bangsa lain, seperti Cina, dipenjarakan kerana kesalahan jenayah, termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Sultan Ibrahim, dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, memberi amaran bahawa darjah kebesaran, bintang, dan pingat Persekutuan akan ditarik balik daripada penerima yang terlibat dalam jenayah atau yang mencemarkan nama negara serta dihukum oleh mahkamah.
Baginda bertitah, setiap penerima anugerah haruslah bersifat jujur dan amanah kepada pemerintah, menjaga tingkah laku mereka, serta tidak terlibat dalam kegiatan rasuah atau sebarang kesalahan jenayah.
Lebih lanjut dalam hantaran terakhir itu, Raja Petra menyatakan bahawa tindakan menarik balik gelaran yang diberikan adalah wajar kerana mereka yang terbabit dalam jenayah dan menerima hukuman tidak lagi layak memegang gelaran tersebut.
“Jika dipenjara, lebih baik gelaran itu ditarik balik kerana gelaran atau anugerah diberikan sebagai pengiktirafan atas jasa kepada negara dan bangsa. Namun, apabila seseorang telah melakukan jenayah yang mencemarkan status orang bergelar, mereka tidak lagi layak untuk terus menyimpan gelaran itu,” katanya.
Tambahnya, individu yang ditarik balik darjah kebesaran bukan sahaja menanggung malu akibat kehilangan gelaran tersebut, malah akan berdepan dengan kritikan serta pandangan negatif masyarakat.
Raja Petra meninggal dunia malam tadi di United Kingdom (UK). Kematiannya pada usia 74 tahun telah disahkan oleh abangnya, Raja Idris, pagi tadi, menurut portal FMT.