Portal UP_TVET buka peluang pelajar jadi tenaga mahir
Portal UP_TVET buka peluang pelajar jadi tenaga mahir
TEMERLOH – Lebih 250 guru bimbingan dan kaunseling serta pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Pahang berkampung di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh, sempena Program Jerayawara UP_TVET 2025, hari ini.
Program anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Timur itu dirasmikan Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Timur, Ts Zulkifli Mat Daud, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.
Ia bertujuan mempromosikan penggunaan Portal UP_TVET, platform permohonan berpusat yang menyenaraikan pelbagai kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawarkan oleh 12 kementerian serta agensi swasta seluruh negara.
Zulkifli berkata, portal itu direka bagi memudahkan pelajar membuat pilihan laluan kemahiran berdasarkan minat serta keperluan industri masa kini.
“Portal ini ada dua kategori permohonan iaitu UP_TVET Perdana untuk kursus sepenuh masa dan UP_TVET Fleksibel bagi kursus pendek yang boleh dipohon sepanjang tahun.
“Sebelum ini, pelajar perlu mohon terus ke institusi secara berasingan, tetapi sekarang cukup dengan satu portal sahaja. Semua kursus TVET tersedia di satu tempat,” katanya.
Beliau berkata, kadar kebolehpasaran graduan TVET kini melebihi 90 peratus dengan bidang automotif, teknologi kejuruteraan dan pemprosesan makanan kekal menjadi pilihan utama.
Katanya, pelaksanaan portal itu diharap dapat menarik lebih ramai pelajar lepasan SPM menyertai aliran TVET yang semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran kerja.
Selain pameran pendidikan, program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran agensi latihan awam dan swasta yang mempromosikan pelbagai kursus kemahiran sepanjang acara berlangsung.-SAHIH