Polis Tumpaskan Geng Curi Kabel ECRL, Rugikan RM825,000
Polis Tumpaskan Geng Curi Kabel ECRL, Rugikan RM825,000
TEMERLOH – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang berjaya menumpaskan dua kumpulan penjenayah terbabit dalam kecurian kabel Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga menjejaskan kelancaran projek mega negara itu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sepanjang Ogos hingga September lalu, polis menerima enam laporan kecurian kabel di laluan pembinaan sekitar Bentong hingga Kuantan dengan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM825,000.
“Antara lokasi terlibat ialah Gambang, Kampung Sementeh. Lanchang dan Felda Kampung Sertik, Karak. dengan panjang kabel yang dipotong melebihi empat kilometer.
Berikutan itu, polis menubuhkan pasukan khas bagi menjejak dalang kegiatan terbabit,” katanya pada sidang media di Balai Polis Lanchang, hari ini.
Beliau berkata, hasil operasi khas itu, lapan lelaki berusia 29 hingga 45 tahun ditahan dalam beberapa siri serbuan di Temerloh, Kuantan dan Bentong.
Mereka terdiri daripada lima lelaki India dan tiga Melayu termasuk dua pembeli kabel curi.

“Daripada jumlah itu, tujuh mempunyai rekod lampau samun dan dadah, manakala lima lagi positif dadah ketika ditahan.
Polis turut merampas sebuah lori sampah, tiga kenderaan, dua motosikal, gulungan kabel seberat satu tan serta peralatan memotong besi,” katanya.
Menurut Yahaya, dua kumpulan penjenayah dikenali sebagai geng Musang dan geng Jep Gambang terbabit dalam kegiatan itu, namun empat lagi ahli iaitu dua lelaki Melayu dan dua Kemboja masih diburu.
Beliau menegaskan, kecurian kabel berkenaan bukan sahaja merugikan hampir RM1 juta, malah boleh menjejaskan jadual pembinaan projek ECRL yang dijadual siap pada 2026.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379, 431A dan 411 Kanun Keseksaan.
Polis juga menasihatkan syarikat besi buruk supaya tidak membeli barangan tembaga tanpa pengesahan asal-usul,” katanya.-SAHIH