POLIS TAHAN SUAMI ISTERI CEROBOH IPD RANAU
POLIS TAHAN SUAMI ISTERI CEROBOH IPD RANAU
Ranau, Sabah: Suami isteri ditahan polis selepas menceroboh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di sini, dengan menaiki Proton Wira dan memecahkan pintu kaca bangunan IPD itu, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, dalam kejadian 9.17 pagi itu, suspek lelaki memandu kereta secara melulu dan melanggar papan tanda berhenti di pondok pengawal sebelum meluru ke ke arah di lobi utama.
“Dia memberhentikan kereta di lobi, keluar daripada kenderaan itu dan terus memecahkan pintu kaca IPD Ranau menggunakan tong sampah.
“Anggota bertugas segera kemudian menahannya dan suspek dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk siasatan awal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Simiun berkata, turut ditahan isteri lelaki itu yang juga penumpang kereta dan ujian saringan kedua-duanya yang berusia 27 tahun dan 33 tahun mendapati hanya suspek lelaki positif dadah, lapor HM online
Katanya, pihaknya percaya suspek bertindak demikian di bawah pengaruh dadah dan mereka berdua direman untuk siasatan lanjut, manakala kenderaan dirampas.