POLIS TAHAN RAKAN SEKOLAH MANGSA BUNUH
SALAH FAHAM SEBELUM SUSPEK BERTINDAK KEJAM BUNUH MANGSA
HULU TERENGGANU: Polis menahan seorang remaja wanita berusia 19 bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Nur Surya, 19, di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Batu, Telemong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut, berkata tangkapan wanita yang juga kenalan di sekolah mangsa dilakukan selepas dia hadir bersama ibunya ke Balai Polis Hulu Terengganu jam 8.15 pagi.
KETUA Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud
Katanya, tangkapan terhadap suspek dibuat berdasarkan bukti ditemui di lokasi kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada rumah burung berhampiran kediaman mangsa.
“Pagi tadi, jam 7.30 suspek datang ke Balai Polis Telemong ditemani ibunya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Bagaimanapun, keterangan dia agak mencurigakan selain terdapat beberapa kesan kecederaan termasuk gigitan pada lengan dan badan mangsa.. berikutan itu, kita menahannya untuk siasatan lanjut jam 8.15 pagi,” katanya pada sidang media di IPD Hulu Terengganu dilaporkan BH Online.
Katanya, susulan penahanan itu, polis menjalankan siasatan di rumah suspek di Kampung Kubang Labu, di sini, dan menemui beberapa barangan yang diambil daripada rumah mangsa termasuk wang tunai dan peralatan solek.
LOKASI kes pembunuhan kejam remaja wanita berusia 19 tahun di Kampung Lubuk Batu, Telemong, pagi semalam
Katanya, sebelum kejadian, suspek dikatakan ke rumah mangsa dengan menaiki motosikal.
Ketika bersembang di ruang tamu, berlaku salah faham hingga menimbulkan kemarahan suspek sebelum berlaku pergaduhan.
“Ketika bergelut, suspek dikatakan mengambil pisau dapur yang ada di ruang tamu sebelum mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus,” katanya.
Mohd Adli berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai bunuh dan bukan samun dan bunuh.
Suspek masih bersekolah di Tingkatan Enam ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302, Kanun Kesiksaan kerana membunuh.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Marang, esok untuk permohonan reman.
Dalam kejadian semalam, Siti Nur Surya Ismail ditemui oleh adik perempuannya, Siti Nur Syuhada, 15, tertiarap di hadapan televisyen di ruang tamu rumah dalam keadaan berlumuran darah dan putus pergelangan tangan ketika pulang dari sekolah kira-kira jam 2.30 petang.
MANGSA kes bunuh, Siti Nur Surya Ismail
Pada awalnya ramai percaya mangsa dibunuh perompak yang memecah masuk rumahnya sekitar jam 9 pagi.
Mangsa yang turut mengalami kecederaan di bahagian badan muka dipercayai bergelut sebelum dibunuh menggunakan senjata tajam.
Difahamkan ketika kejadian hanya mangsa dan ibunya yang terlantar berada dalam rumah manakala bapa dan adik beradik lain bekerja dan bersekolah.