POLIS TAHAN BAPA BERI ANAK HISAP VAPE
POLIS TAHAN BAPA BERI ANAK HISAP VAPE
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai bapa kepada kanak-kanak berusia dua tahun yang diberikan rokok elektronik atau vape untuk dihisap.
Video dan gambar lelaki terbabit memberikan kanak-kanak berkenaan vape tular dalam laman sosial sebelum laporan polis dibuat oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pada jam 4.50 petang semalam, sepasukan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai JKM pergi ke sebuah kediaman di PPR Kampung Baru Air Panas, Jalan Usahawan off Jalan Genting Klang, Setapak, selepas mengesan kediaman kanak-kanak berkenaan.
“Pihak polis dan JKM menyelamatkan kanak-kanak terbabit dan membawa bersama ibunya untuk pemeriksaan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum mereka ditahan di wad untuk pemeriksaan susulan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian suspek memberi anaknya menghisap vape dikesan berlaku di Taman Sahabat Jaya, Batu Caves, Selangor, pada 2 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arifai berkata polis kemudian menahan bapanya yang berusia 23 tahun kerana perbuatannya itu dan siasatan mendapati ketika kejadian ibu mangsa merakam situasi berkenaan namun suspek memberikan vape kepada anaknya, lapor BH Online.
“Suspek kini direman selam tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial video menunjukkan seorang ibu memuat naik video yang menunjukkan dia memberi anaknya menghisap rokok elektronik atau vape sehingga mengundang kemarahan netizen.
Klip video berdurasi 12 saat itu menunjukkan, mangsa yang sedang menonton video animasi kanak-kanak di telefon bimbit disuap dengan vape sebanyak dua kali.
GAMBAR HIASAN
Malah pada sedutan kali kedua jelas menunjukkan mangsa seperti sukar bernafas.
Pada mulanya, wanita terbabit tetap mempertahankan tindakannya dengan menegaskan bebas memuat naik apa sahaja di laman sosialnya.
Namun selepas dikecam netizen, wanita terbabit meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan video itu dan memohon maaf kerana tidak sangka tindakannya memuat naik video itu mengundang persepsi tidak elok selain bimbang kejadian buruk berlaku kepada anaknya.