POLIS SIASAT GAMBAR HINA DR NOOR HISHAM
Berita Jenayah
POLIS SIASAT GAMBAR HINA DR NOOR HISHAM
KUALA LUMPUR: Bukit Aman sudah memulakan siasatan berhubung kewujudan gambar meme (gambar lucu) berunsur penghinaan terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang tular di media sosial, semalam.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata siasatan dijalankan susulan satu laporan polis yang diterima, semalam.
“Kita terima satu laporan polis, hari ini (semalam) yang dibuat di Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.
“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada BH.
Terdahulu, tular satu gambar tangkap layar diambil daripada laman Facebook MGAG menunjukkan gambar meme satu individu kononnya sedang bersiaran secara langsung dengan memakai kemeja dan kot tanpa berseluar.
Gambar individu berkenaan ditukar kepada wajah Noor Hisham dengan kapsyen DG Hisham doing live broadcast from quarantine (Ketua Pengarah Hisham sedang bersiaran secara langsung ketika dikuarantin).
Bagaimanapun, carian BH di laman Facebook berkenaan mendapati hantaran itu sudah dipadamkan dipercayai selepas menerima kritikan dan menimbulkan kemarahan netizen.
Satu permohonan maaf turut dibuat oleh individu yang mencipta gambar meme berkenaan menggunakan nama Cho Jun Yang menerusi laman Facebook terbabit.
Selain Facebook, MGAG yang juga sebuah laman web media sosial yang memaparkan pelbagai gambar meme turut mempunyai akaun di Twitter dan Instagram.
Sumber: BH Online