Polis siasat dakwaan palsu kehilangan bayi kembar di Hospital Kuala Lipis
Polis siasat dakwaan palsu kehilangan bayi kembar di Hospital Kuala Lipis
LIPIS – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penularan satu dakwaan di media sosial yang mendakwa seorang wanita Melayu telah ditahan bersama bayi kembarnya di Hospital Kuala Lipis, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Bin Man berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada pihak hospital yang menafikan kejadian seperti yang didakwa dalam hantaran terbabit.
Menurutnya, dakwaan itu disifatkan sebagai tidak berasas dan bersifat fitnah terhadap pihak hospital.
“Kes ini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian komunikasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, orang awam dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.
“Tindakan menyebarkan cerita palsu boleh mengundang kekeliruan serta menjejaskan nama baik institusi kesihatan awam,” katanya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan hantaran fitnah berkenaan.-SAHIH