POLIS TIDAK AKAN BUAT PEMERIKSAAN DARI RUMAH KE RUMAH
POLIS TIDAK AKAN BUAT PEMERIKSAAN DARI RUMAH KE RUMAH
IPOH – Polis Perak membayangkan tidak akan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi mengesan mereka yang melakukan pergerakan rentas negeri pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.
Sebaliknya, mereka akan memperketatkan lagi pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di sempadan dengan lima buah negeri.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, langkah itu adalah cara terbaik untuk memastikan tiada pergerakan rentas negeri.
Kalau kita berjaya sekat orang datang ke Perak, apa keperluan kita nak periksa (rumah ke rumah) kerana Hari Raya ini boleh disambut di negeri Perak, tidak ada sekatan untuk rentas daerah.
“Jadi orang boleh berhari raya dan sebagainya di negeri Perak.
“Kalau kita menguatkuasakan prosedur operasi standard lebih ketat di SJR, insya Allah kita tidak akan mengadakan pemeriksaan rumah ke rumah,” katanya.
Beliau ditemui selepas program agihan juadah berbuka puasa dan penyerahan sumbangan kepada warga PDRM Perak di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini, hari ini.
Program tersebut anjuran bersama PDRM Perak dan Persatuan India Muslim Perak (PRIM).
Datuk Mior Faridalathrash berkata, setakat ini terdapat 27 SJR di kawasan sempadan Perak dengan lima negeri iaitu Selangor, Pahang, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah.
Sebelum ini dilaporkan polis beberapa buah negeri akan melakukan pemeriksaan rumah ke rumah untuk mengesan pergerakan merentas daerah dan negeri, lapor KOSMO! Online.
Pada majlis itu, sebanyak 3,000 pek makanan berbuka puasa diedarkan kepada anggota polis di sekitar Ipoh.
Selain itu, seramai 20 orang balu, ibu tunggal serta warga polis yang kurang berkemampuan menerima sumbangan barangan dapur dan wang tunai.