POLIS PATAH KAKI DILANGGAR PENJENAYAH
POLIS PATAH KAKI DILANGGAR PENJENAYAH
Seremban: Seorang lelaki ditahan selepas melanggar anggota polis sehingga patah kaki dalam kejadian di Kampung Sentosa Paroi di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 12.40 awal pagi itu, suspek berumur 36 tahun yang bekerja sebagai juru kimpal sini, berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian itu, anggota polis berusia 44 tahun patah kaki kiri akibat dilanggar suspek.
Katanya, kejadian berlaku ketika anggota MPV sedang membuat rondaan di Kampung Sentosa Paroi terserempak sebuah van jenis Nissan Vanette yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila anggota mengarahkan pemandu berhenti, lelaki melarikan diri menyebabkan polis meminta bantuan anggota unit rondaan bermotosikal (URB) I Senawang.
“Suspek dikejar di kawasan Taman Cengal Paroi dan dia membuat pusingan U sebelum melanggar pasukan URB,” katanya di sini, hari ini, lapor HM online.
Beliau berkata, anggota terus mengejar suspek dan lelaki itu membuat pusingan U sekali lagi sebelum melanggar kereta polis.
Menurutnya, apabila tiba di selekoh jalan, suspek hilang kawalan dan terlanggar tiang elektrik di Jalan Cengal Utama 9 Paroi.
“Suspek cuba keluar daripada van namun anggota sempat menahannya,” katanya.
Mohd Said berkata, pemeriksaan di dalam van menjumpai sebatang kayu yang panjangnya 120 sentimeter (sm) dan dipasang dengan sebilah sabit.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kenderaan adalah palsu.
Menurutnya, pemeriksaan pada tubuh suspek pula menjumpai satu botol kaca yang diubahsuai sebagai alat untuk menghisap dadah.
“Selain itu, terdapat dua tiub straw mengandungi bahan yang disyaki heroin seberat kira-kira 0.75 gram.
“Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau terutama membabitkan dadah,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987) dan Seksyen 108 (3)(f) APJ 1987 serta Seksyen 12 (2)/(3) Akta Dadah Merbahaya (ADB 1952 & Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.
“Suspek direman selama empat hari mulai hari ini,” katanya.