POLIS KESAL ADA PIHAK TIPU MANGSA BANJIR
POLIS KESAL ADA PIHAK TIPU MANGSA BANJIR: TAWAR BANTUAN TAK WUJUD
TEMERLOH: Polis Pahang menerima laporan mengenai kegiatan pihak tertentu cuba menipu mangsa banjir dengan menawarkan bantuan yang tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya menasihatkan mangsa banjir lebih berhati-hati supaya tidak tertipu dengan taktik kumpulan berkenaan.
“Walaupun secara keseluruhannya kes jenayah menurun sejak banjir melanda negeri ini minggu lalu, namun pihak polis ada menerima laporan mengenai kegiatan sindiket penipuan yang aktif menawarkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Kegiatan penipuan seperti ini sangat dikesali kerana tindakan kumpulan atau sindiket terbabit seolah-olah tidak bersimpati dengan kesusahan yang sedang dihadapi mangsa banjir.. perkara ini kita sedang siasat dan tindakan tegas akan diambil terhadap kumpulan penipu ini, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi lawatan kerja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh, turut hadir Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Yusri Othman di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata, sejumlah 96 keluarga pegawai dan anggota polis Pahang turut menjadi mangsa banjir membabitkan kira-kira 400 ahli keluarga.
GAMBAR IHSAN PDRM
Beliau berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sudah memberikan bantuan awal kepada semua keluarga berkenaan dan bantuan susulan akan diberikan dari semasa ke semasa kepada mereka.