POLIS MYANMAR BERTINDAK GANAS
POLIS MYANMAR BERTINDAK GANAS
YANGON: Tindakan keras pihak berkuasa Myanmar menyuraikan penunjuk perasaan menentang junta tentera hari ini menyaksikan lapan lagi penunjuk perasaan maut.
Pihak berkuasa meningkatkan operasi terhadap penunjuk perasaan selepas mereka terus mengingkari arahan untuk menghentikan usaha menuntut pembebasan pemimpin mereka, Aung San Suu Kyi, yang ditahan sejak 1 Februari lalu.
Tidak dapat dipastikan di mana Suu Kyi berada sekarang dan menurut laman sesawang bebas, Myanmar Now, beliau dipindahkan minggu ini dari tahanan rumah ke lokasi yang tidak didedahkan.
Bermula dengan tembakan meriam air, pihak berkuasa meningkatkan kekerasan dengan menembak peluru getah dan gas pemedih, malah turut menggunakan peluru hidup apabila protes semakin memuncak, lapor AFP.
Pagi tadi, tunjuk perasaan besar-besaran diadakan di serata Myanmar terutama di Yangon, yang menyaksikan lapan maut dan sekurang-kurangnya 20 cedera apabila pihak berkuasa bertembung penunjuk perasaan di bandar Dawei.
Sementara itu, ketua Junta, Jeneral Min Aung Hlaing, berkata pihak berkuasa menggunakan kekuatan minimum, namun sekurang-kurangnya lapan penunjuk perasaan maut setakat jam 10 malam tadi.
Keganasan itu meletus selepas duta besar Myanmar ke Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Kyaw Moe Tun, mendesak badan dunia itu menggunakan segala cara yang diperlukan untuk mengembalikan demokrasi.
Televisyen rasmi, MRTV melaporkan Moe Tun mengkhianati negara dan bercakap untuk pertubuhan tidak rasmi yang tidak mewakili negara dan menyalahgunakan kuasa serta tanggungjawab seorang duta besar.
Sehubungan itu, junta tentera memecat Moe Tun, berikutan tindakannya mengecam penggulingan Suu Kyi.
Menurut kumpulan pemantau Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), lebih 770 orang ditangkap, didakwa dan dijatuhkan hukuman sejak keganasan itu berlaku, dengan kira-kira 680 orang masih berada di penjara.
Sejak rampasan kuasa, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh termasuk seorang pegawai polis yang cuba mengawal keadaan ketika tunjuk perasaan.