Polis Lipis latihan hadapi Monsun Timur Laut
Foto : Peserta diberi latihan water-confident untuk tingkatkan keyakinan peserta ketika operasi menyelamat di air.
LIPIS – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis bersama pelbagai agensi keselamatan bergabung tenaga menjayakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Menyelamat dan Pengendalian Bot/Enjin Sangkut Daerah Lipis 2025/2026 bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang diadakan di Kuala Sungai Lipis, Kampung Tanjung Lipis, semalam.
Program penuh aksi itu membabitkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan BOMBA Komuniti Majlis Daerah Lipis, dengan kekuatan keseluruhan 8 pegawai dan 61 anggota.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, berkata latihan ini memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan, kemahiran teknikal serta penyelarasan operasi menyelamat di kawasan air.
“Antara pengisian utama ialah taklimat pengendalian bot secara selamat, penyelenggaraan asas enjin, dan latihan amali pemanduan bot yang dikendalikan pegawai BOMBA. Aktiviti ‘Water Confident’ juga diadakan untuk tingkatkan keyakinan peserta ketika operasi menyelamat di air,” katanya.
”Sembilan buah bot digunakan sepanjang latihan, merangkumi tiga bot PDRM, dua bot BOMBA, tiga bot APM dan satu bot BOMBA Komuniti Majlis Daerah Lipis,” katanya.
Sebagai simbol semangat perpaduan antara agensi, APM Lipis turut menyerahkan makanan “Ready To Eat” (RTE) kepada PDRM dan BOMBA bagi mengukuhkan semangat kerjasama dan kesiapsiagaan bersama.
Sementara itu, Inspektor Mohd Faizal Sirazzuthin berkata latihan ini penting bagi memastikan setiap anggota memahami prosedur kecemasan dan mampu mengendalikan bot dengan cekap serta selamat.
“Selain menguji keupayaan enjin sangkut, ia juga memastikan semua aset berada dalam keadaan terbaik sebelum musim tengkujuh. PDRM Lipis sentiasa komited memperkukuh keupayaan pasukan dan jaringan kerjasama agensi keselamatan demi keselamatan masyarakat setempat,” katanya.
”Latihan penuh semangat itu membuktikan kesiapsiagaan pasukan penyelamat daerah ini tidak hanya bersandarkan kepada aset, tetapi juga kekuatan semangat dan kesepaduan dalam menghadapi sebarang kemungkinan ketika monsun melanda,” katanya.-SAHIH.
