Polis lepas tembakan di udara
Polis lepas tembakan di udara
MIRI: Polis terpaksa melepaskan tembakan di udara untuk meleraikan pergaduhan sekumpulan lelaki dalam kejadian di Piasau Jaya di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Hakemal Hawari mengesahkan kejadian itu berkata, insiden tersebut adalah retetan daripada kejadian awal di mana seorang peguam terkenal di di sini mendakwa dirinya telah diserang oleh seorang lelaki yang beliau kenali ketika sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah.
Katanya, akibat daripada serangan tersebut beliau telah mengalami kecederaan ringan.
“Ekoran daripada kejadian tersebut, adik kepada mangsa telah mengambil tindakan mengesan penyerang tersebut bersama beberapa orang rakan beliau dan berlaku pergaduhan yang mengakibatkan kerosakan kepada harta benda serta kecederaan.
“Pihak polis yang tiba di tempat kejadian terpaksa melepaskan tembakan di udara untuk meleraikan pergaduhan serta meredakan keadaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hakemal berkata, kesemua yang terlibat dalam pergaduhan tersebut telah membuat laporan polis dan mereka yang terlibat ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri untuk membantu siasatan.
Seramai tujuh lelaki berusia antara 31 hingga 40 tahun telah ditahan polis untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, pergaduhan tersebut turut dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan tular di media sosial.
Setakat ini, katanya punca sebenar pergaduhan tersebut masih dalam siasatan.
“Masyarakat diminta memberi ruang kepada pihak polis untuk menyiasat dengan lebih lanjut insiden ini.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkan kepada BSJD Miri,” katanya.
Hakemal berkata, pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman pergaduhan tersebut kerana ianya akan mengundang kegusaran kepada masyarakat serta membawa kepada tafsiran yang negatif kepada semua pihak,” katanya.
Katanya, mana-mana individu yang didapati menularkan video tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, jika sebarang spekulasi dibuat dengan tujuan untuk mengamcam keamanan,” ujarnya.
Beliau menambah, pihak polis juga ingin menegaskan kepada masyarakat agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang.
“Tiada siapa dibenarkan dalam undang-undang untuk menggunakan kekerasan, gangsterism dalam menyelesaikan pertelingkahan di antara pihak tanpa mengira latarbelakang mereka.
“Sebarang kejadian jenayah yang berlaku harus dilaporkan dengan segera kepada pihak polis untuk siasatan dan untuk tindakan lanjut.
Pergaduhan ini dapat dielakkan jika semua pihak berfikiran secara rasional,” katany