Polis kesan wanita dakwa akan kahwin Tengku Hassanal
Kuantan: Polis sedang mengesan wanita yang mendakwa kononnya akan melangsungkan perkahwinan bersama Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita siasat perkara ini dan dalam tindakan mengesan suspek,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selasa lalu Istana Pahang menafikan satu hantaran tular berkenaan perkahwinan diraja melibatkan Tengku Hassanal dengan seorang wanita, yang kononnya akan berlangsung pada April tahun depan.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mej Datuk Mohamed Zahari Yahya dilaporkan berkata, hantaran yang dimuat naik pengguna platform Instagram dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_l) itu menyaksikan wanita berkenaan menerangkan majlis perkahwinannya bersama Tengku Hassanal.
Menurut hantaran pada cerita Instagram berkenaan, wanita itu mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada April tahun depan, dan secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya.